Putrajaya: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh Blok B di Kuarters Perumahan Penjawat Awam Presint 14 di sini, kelmarin masih dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid berkata, kanak-kanak terbabit kini dipantau rapi serta menerima rawatan lanjut di Hospital Serdang.

“Buat masa ini, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun parah di bahagian kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh Blok B di Kuarters Perumahan Penjawat Awam Presint 14.

Difahamkan, kejadian itu berlaku jam 3 petang iaitu selepas kanak-kanak terbabit terpisah dengan ibu saudaranya ketika mahu menaiki lif.

Ibu saudara kanak-kanak itu dipercayai tidak sempat menaiki lif bersama selepas pintunya tertutup dan kemudian mengejar mangsa menggunakan tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 7:32 AM