Oleh Asrol Awang


Kuantan: Seramai 29 pemain Kuantan FA termasuk awang import sudah diberi surat amaran supaya meningkatkan prestasi apabila saingan Liga Perdana bersambung esok.

Justeru, pertemuan dengan DRB-HICOM di Stadium Darulmakmur malam esok, diharap mampu menjadi pencetus kebangkitan skuad kendalian Aminuddin Hussin terutama dalam usaha mencatat kemenangan pertama musim ini.

Pengurus pasukan Datuk Wan Solohi Wan Hassan berkata, pemberian surat amaran itu dianggap perlu memandangkan skuad itu hanya mengutip satu mata daripada lima perlawanan liga setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya amaran sebegitu boleh menyedarkan pemain sekali gus mendorong peningkatan prestasi pasukan selain pemain perlu berusaha meningkatkan persefahaman.

“Amaran itu dikeluarkan kepada semua termasuk pemain import malah kita tidak teragak-agak menggugurkan mana-mana pemain yang kurang menonjol kerana kita serius untuk meneruskan saingan.

“Pertemuan menentang DRB-HICOM peluang terbaik memperbaiki kedudukan dalam saingan liga selepas hanya mencatat satu seri dan empat kekalahan,” katanya semalam.

Wan Solihi berkata, kemenangan perlu direalisasikan anak buahnya kerana Kuantan FA harus mengelak daripada terus berada di kelompok bawahan.

Katanya, hanya kemenangan yang mampu memberikan keyakinan untuk terus beraksi lebih baik sekali gus membantu memperbaiki kedudukan.

“Saya yakini kemampuan semua pemain terutama selepas kemenangan 3-2 ke atas Terengganu pada aksi persahabatan baru-baru ini.

“Jika mereka mengekalkan prestasi dan disiplin tinggi di padang, kejayaan pasti memihak kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 9:15 AM