Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh berkuat kuasa 16 Mac lalu selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen diraja yang dipohonnya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan menerima surat pemakluman keputusan petisyen pengampunan berkenaan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sebaik saja petisyen itu diputuskan pada tarikh itu.

"Petisyen pengampunan Yang Berhormat Permatang Pauh sudah diputuskan pada 16 Mac 2015 bahawa hukuman penjara bagi tempoh lima tahun yang dikenakan terhadap beliau hendaklah diteruskan.

"Surat pemberitahuan sudah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi terbabit sebaik saja kehilangan kelayakan itu berkuat kuasa mengikut perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada 24 Februari lalu,isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sebelum itu pada 10 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi melepaskannya kerana kesalahan berkenaan pada 26 Jun 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 3:19 PM