WAN Azizah berucap selepas diumum calon PKR bagi PRK Permatang Pauh, di Seberang Jaya, malam tadi. FOTO Hairulazim
WAN Azizah berucap selepas diumum calon PKR bagi PRK Permatang Pauh, di Seberang Jaya, malam tadi. FOTO Hairulazim
Oleh Shamsul Munir Safini

Permatang Pauh: Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dinamakan sebagai calon parlimen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, di SP Arena, di sini, malam tadi.

Pengumuman itu tidak mengejutkan kerana banyak pihak sudah meramal bahawa Dr Wan Azizah akan dicalonkan semula walaupun pernah meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen yang dipegang sejak 1999 hingga 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu pada PRK 2008.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang itu yang kini berusia 63 tahun dilihat Pakatan Rakyat sebagai calon paling layak walaupun sebelum itu ada ura-ura untuk menamakan anak ketiga beliau sebagai calon.

Hadir pada majlis pengumuman berkenaan ialah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hata Ramli serta beberapa pimpinan tertinggi pakatan pembangkang.

Sebelum ini, kerusi Parlimen Permatang Pauh diisytihar kosong selepas Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen apabila Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan beliau pada 16 Mac lalu bersabit hukuman penjara yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seterusnya memutuskan perkara itu pada 1 April lalu yang selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan apabila wujud kekosongan luar jangka di Parlimen berkenaan.

Berikutan itu, SPR menetapkan tarikh mengundi dijalankan pada 7 Mei ini, manakala hari penamaan calon pada 25 April dan tarikh pengundian awal pula pada 3 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 11:43 PM