Oleh Ainul Fatihah Mansor


Putrajaya: Kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan yang difailkan isteri dan dua anaknya diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, seterusnya status kekosongan parlimen itu akan dimaklumkan secara rasmi oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat kepada SPR selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

"SPR menerima pemakluman rasmi daripada Setiausaha Dewan Rakyat menerusi surat bertarikh 24 Februari lalu mengenai status kehilangan Yang Berhormat Permatang Pauh (Anwar) susulan daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu.

"Berdasarkan pemakluman itu, satu petisyen pengampunan sudah difailkan oleh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah dan Nurul Nuha bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Ghani berkata, SPR hanya akan mengadakan Mesyuarat Khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan pilihan raya kecil Parlimen P.044 Permatang Pauh selepas mendapat pemakluman rasmi itu daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat berkaitan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 1:13 PM