BERNAMA

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) masih menunggu pengesahan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kedudukan kerusi Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan sebelum mengambil sebarang langkah susulan.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak berkata pengesahan itu termasuk mengenai kekosongan kerusi dan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kedua-dua kawasan tersebut.

“Bila dah terima pengesahan, BN akan membuat keputusan setelah berbincang dengan bahagian dan negeri-negeri berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di sini malam kelmarin.

Beliau berkata, BN akan mengkaji dengan terperinci perkembangan kedua-dua kawasan itu dan mengambil keputusan terbaik untuk memastikan BN mencapai prestasi memberangsangkan.

Katanya, BN tidak akan terburu-buru kerana ketika ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan berhubung PRK di kawasan terbabit.

“Kita kaji segala sudut, kita ambil kira prestasi kita yang lebih baik di Pengkalan Kubur apabila kita menang dengan majoriti bertambah dan di Teluk Intan kita menang,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen apabila habis tempoh 14 hari dari tarikh beliau disabitkan dan dihukum atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memutuskan Anwar gagal dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan mengekalkan hukuman penjara lima tahun.

Namun, sekiranya Anwar memfailkan petisyen bagi suatu pengampunan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Persekutuan, kehilangan kelayakan berkenaan hanya akan mula berkuat kuasa sebaik petisyen itu diputuskan sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Kerusi DUN Chempaka pula kosong apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia semalam akibat kanser prostat.

Sementara itu, Najib berkata BN akan menyelaras gerak kerja bagi memantapkan parti supaya BN dilihat sebagai satu parti yang lebih padu dan selaras dalam semua kegiatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:27 AM