Oleh Aziman Rosdi

Shah Alam: Gagal lagi. Itulah hakikat terpaksa ditelan peminat tempatan apabila tiada keajaiban dipamerkan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Razip Ismail selepas impian untuk layak ke pusingan akhir AFC B-23 di Qatar tahun depan berkubur, susulan tewas 0-1 kepada Jepun pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Shah Alam malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia sekadar menamatkan kempen peringkat kumpulan di tangga ketiga di belakang Jepun yang layak secara automatik selaku juara kumpulan manakala Vietnam berpeluang merebut slot lima pasukan kedua terbaik kumpulan.

Razip berada dalam kedudukan bahaya jika pasukannya gagal menepati sasaran, memerlukan kemenangan apabila hanya memungut tiga mata selepas dua perlawanan hasil kemenangan ke atas Macau 2-0 Ahad lalu.

Beliau melakukan rombakan dengan menukar enam pemain daripada skuad yang menewaskan Macau 2-0 Ahad lalu apabila meletakkan lima pemain pertahanan bagi mengekang asakan Jepun.

Jepun yang dibimbing Makoto Teguramori terlepas peluang untuk menghasilkan gol apabila sepakan percuma Ryota Ohshima pada minit ke-7 terkena tiang.

Penjaga gawang negara Mohd Farhan Abu Bakar dipaksa bekerja keras namun akhirnya tewas pada minit ke-41 selepas Yuya Kubo menanduk masuk bola hantaran lintang Anzai Kazuki.

Seminit selepas itu Malaysia yang mendapat sokongan tanpa henti Ultras Malaya hampir menyamakan kedudukan apabila kapten Nazirul Naim Che Hashim berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan yang berjaya ditepis Niekawa Ayumi.

Ketika Jepun terus mendominasi babak kedua, skuad negara hampir membuat kejutan menerusi serangan pantas pada minit ke-73 namun sepakan Muhammad Ariff Farhan Md Isa sekadar melepasi palang.

Jepun seperti sudah berpuas hati dengan jaringan satu gol itu apabila memperlahankan permainan sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 8:23 AM