KHIDMAT Nazmi (kiri) diperlukan untuk perkukuh skuad B-23.
KHIDMAT Nazmi (kiri) diperlukan untuk perkukuh skuad B-23.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Razip Ismail mungkin terpaksa mencari jalan lain untuk memantapkan pasukannya mengharungi kelayakan Piala AFC B-23 pada 27-31 Mac ini berikutan kesukaran pasukan Liga Malaysia (Liga M) melepaskan pemain mereka.

Razip yang diberi tanggungjawab membimbing pasukan itu daripada Datuk Ong Kim Swee, kini sudah mengumpul hampir 25 pemain namun beliau mengakui masih memerlukan sekurang-kurangnya tujuh lagi pemain dari luar bagi memperkuatkan pasukannya.

Antara pemain yang kini dalam perhatiannya menyertai latihan pasukan selewat-lewatnya awal Mac depan adalah pemain tengah Selangor, Muhamad Nazmi Faiz Mansor serta dua pemain tengah Kedah, Farhan Roslan dan Syazwan Tajuddin.

Bagaimanapun untuk melepaskan pemain tonggak bagi tempoh lama bukan mudah bagi pasukan terbabit memandangkan jadual liga yang padat ketika itu.

“Kami belum mendapat sebarang maklumat lagi kerana setakat ini hanya dimaklumkan perlu melepaskan pemain terbabit untuk Sukan SEA Singapura pada Mei. Perkara ini bukan hanya perlu ditentukan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) saja malah kami juga perlu merujuk kepada jurulatih pasukan untuk membuat keputusan.

“Bukan mudah untuk kami melepaskan mana-mana pemain ketika itu dan saya fikir, beliau (Razip) boleh menggunakan pemain sedia ada,” kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Ibrahim semalam.

Turut berkongsi pandangan sama, jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe yang bakal kehilangan tonggak utama Farhan atau dikenali sebagai Messi Kedah dan Syazwan jika benar khidmat pemain itu diperlukan oleh Razip.

“Memang serba salah sebab saya tahu, saya pernah bersama skuad kebangsaan dulu, saya tahu kebaikan pemain beraksi di peringkat antarabangsa. Tapi untuk kehilangan dua pemain tonggak serentak dalam tempoh agak lama pasti sukar. Kita tidak tahu apa akan terjadi apabila liga bermula, mungkin akan ada kecederaan pemain sedangkan kita mempunyai pemain terhad,” katanya.

Menerusi undian, anak buah Razip akan berdepan Jepun, Macau dan Vietnam dalam saingan Kumpulan I di Stadium Shah Alam. 43 negara berentap dalam 10 kumpulan bagi merebut 10 slot juara kumpulan dan lima pasukan terbaik tempat kedua ke pusingan akhir di Qatar pada Januari 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:12 AM