AKSI  De Paula (kiri) tak konsisten bersama Selangor.
AKSI De Paula (kiri) tak konsisten bersama Selangor.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dijangka menguatkan pasukan terutama di jentera serangan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) bermula hari ini.

Prestasi jentera serangan Merah Kuning mencetuskan kebimbangan peminat terutama kelibat penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula yang tidak mempamerkan aksi konsisten meledak jaringan.

FAS mempunyai dua pilihan, sama ada menyingkir atau mengekalkan pemain itu dan pada masa sama membawa penyerang berpengalaman dalam kancah domestik untuk memperkuatkan pasukan.

Bagaimanapun pengurus Selangor Amirudin Shari menjelaskan pihaknya sudah meneliti laporan jurulatih Mehmet Durakovic mengenai pemain yang perlu kekal, tukar atau sebagainya.

Namun Amirudin mengakui Presiden FAS Mohamed Azmin Ali sudah bertanya pihak pengurusan berhubung jendela perpindahan pemain yang jelas menunjukkan beliau mengambil berat mengenai perkara itu.

“Malah hari ini (semalam), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri ini. Kita melihat perkara ini secara serius,” kata Amirudin yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

Tambahnya, beliau sudah mendapat laporan Durakovic yang turut mengemukakan beberapa cadangan untuk menambah baik dan akan membawanya kepada Jawatankuasa Pasukan Negeri dan Pertandingan Antarabangsa yang dipengerusi Azmin.

“Kita akan semak semua laporan jurulatih seperti strategi untuk mendapatkan kejuaraan, beberapa aspek berhubung pasukan, peralatan dan kemudahan. Laporan jurulatih turut meneliti keupayaan pemain Selangor dibanding dengan pasukan lain dan prestasi pada musim sebelumnya.

“Menjelang 1 April saya harap kita akan mendapat keputusan dan boleh bertindak kerana kita tiada banyak masa. Saya percaya menjelang tempoh itu kita boleh membuat keputusan yang jelas,” katanya.

Jendela perpindahan pemain akan dibuka bermula hari ini hingga 28 April dengan tiga pemain tempatan dibenarkan untuk setiap pasukan. Pemain tempatan dibenarkan untuk menukar pasukan yang diwakilinya ketika ini.

Selangor kini mengumpul lapan mata di kedudukan ketiga selepas mengharungi lima perlawanan dan bakal menyambung aksi menentang Sime Darby FC di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 7:56 AM