BMW X5 dengan kit badan Typhoon.
BMW X5 dengan kit badan Typhoon.
Oleh Erywan Norshal


Kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 dalam ruangan Modifikasi pada minggu ini boleh dianggap nadir kerana difahamkan hanya ada dua unit di negara ini menggunakan kit badan Typhoon.

Kit badan Typhoon adalah keluaran Amerika Syarikat yang mungkin harganya mencecah hampir RM50,000, termasuk harga kos dan penghantaran ke negara ini.

Namun, pemilik BMW X5 Mohamad Al Hafiz Mohd Ali, 35, memilih jalan terbaik untuk menjimatkan wang dengan ‘meniru’ gaya kit badan jenama Typhoon yang menggunakan material besi, sekali gus jimat hampir RM40,000.

Gaya jentera yang dibelinya hampir dua tahun lalu itu mengalami perubahan drastik apabila kerangka badan lebih lebar antara dua sehingga empat inci.

Perubahan boleh dilihat apabila pandangan depan dan belakang tampak lebih garang berbanding varian standard biarpun jentera itu lebih berat sehingga 300 kilogram.

Mohamad Al Hafiz berkata, proses melakukan ubah suai itu tidak memerlukan masa panjang kerana ia boleh disiapkan dalam tempoh dua bulan.

Menurutnya, biarpun beban jentera itu mencecah sehingga 1,800 kilogram, enjin 4.4 V8 tidak langsung memberi masalah berhubung prestasinya selepas sistem ekzos ditingkatkan dengan menggunakan saluran lebih besar sehingga tiga inci.

“Bagi membuatkan jentera ini lebih unik, saya menggunakan rim bersaiz paling besar iaitu 22 inci jenama Klenners yang dipadankan tayar 295/35 R22.

“Bahagian belakang hanya menggunakan spoiler yang ditempah khas dengan rekaan sedikit besar berbanding komponen jenama Typhoon,” katanya.

Mohamad Al Hafiz berkata, langkah ubah suai boleh dianggap sebagai hobi kerana mahu lihat jentera lebih garang dan bergaya, selain mahu kelihatan unik.

Menurutnya, jentera itu masih lagi dalam usaha modifikasi kerana beliau perlu menyiapkan ruangan dalaman serta meningkatkan sistem audio premium.

INFO

UBAH SUAI LUARAN:

-Bampar depan dan belakang gaya Typhoon

-Kit komponen tepi gaya Typhoon

-Spoiler tempahan khas

RIM: Klenners bersaiz 22 inci

EKZOS: Tempahan khas dengan saluran sebesar tiga inci

ENJIN: Standard 4.4 liter V8

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:03 AM