DIPENUHI pelekat berkonsepkan Rockstar.
DIPENUHI pelekat berkonsepkan Rockstar.

Dalam tempoh setahun, sudah 30 piala kenderaan dalam ruangan Modifikasi minggu ini memenangi pertandingan autoshow yang diadakan sekitar selatan tanah air.

Ubah suai kategori Proton Standard membuatkan Proton Saga BLM keluaran 2010 ini tampak menyerlah untuk merebut kejuaraan setiap pertandingan diadakan.

Bahagian luarannya tampak bersahaja, tetapi kombinasi pelekat dengan konsep minuman air bertenaga Rockstar membuatkan jentera ini kelihatan unik sekali gus mampu menambat hati juri pertandingan.

Padanan bampar hadapan rekaan V2 tampak menarik kerana tampak lebih lebar serta rendah, manakala spoiler daripada Mitsubishi Evolution X membuatkan kelihatan sporty.

Pemiliknya, Muhammad Izan Padilah, 26, berkata warna asal iaitu putih dikekalkan tetapi diperkemaskan dengan pelekat Rockstar Metal Mulisha rekaan tengkorak pada bahagian belakangnya.

Menurutnya, Proton Saga yang dibeli empat tahun lalu baru saja disiapkan pada awal 2013 dengan menggunakan pintu gunting serta dipadankan rim Rota bersaiz 17 inci.

"Kelebaran rim itu berbeza yang mana bahagian belakang lebih lebar iaitu 9 jj, manakala 7.5 jj untuk hadapan serta tayar itu pula dibaluti jenama Silverstone bersaiz 205/40 R17.

"Bagi membuatkan ia lebih sporty, jentera ini direndahkan dengan menggunakan gegelung sport jenama Kayaba," katanya.

Muhammad Izan berkata, ruang kabin juga menerima pencahayaan yang sama apabila dimeriahkan dengan warna oren dan putih.

Katanya, semua komponen dicat semula dan meletak pelekat Roadstar serta dilengkapi pelbagai saiz skrin LCD bersaiz antara 14 sehingga tujuh inci.

"Saya juga meletakkan beberapa meter jenama Defi untuk menyukat voltan bateri, RPM dan 'Boost' untuk memeriahkan bahagian papan pemuka.

"Di but belakang pula, ia dipenuhi pelbagai pembesar suara jenama MTX dan VSL. Bagi membuatkan ia lebih menarik, saya meletakkan enam skrin 2.5 inci untuk memaparkan video sekiranya memasang audio berkenaan," katanya.

Ahli Kelab Kereta Proton Saga BLM itu tidak pernah rasa menyesal menghabiskan RM20,000 untuk melakukan modifikasi kenderaan berkenaan dalam tempoh setahun.

SPESIFIKASI

Kos:

-RM20,000

Ubah suai Luaran:

-Pelekat Rockstar Metal Mulisha

-Bampar hadapan V2

-Spoiler Mitsubishi Evolution X

-Rim Rota 17 inci

-Pintu Gunting

-Gegelung Kayaba

Ubah suai Dalaman:

-Papan pemuka direka semula untuk meletak skrin 14 inci

-Meter Defi

-Kerusi dibalut semula

-Kulit Pintu dicat dan ditampal pelekat

-Stereng Momo

Audio:

-Pembesar suara MTX dan VSL

-Enam skrin 2.5 inci

-Amplifier Punch

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 AM