HANYA tiga bulan untuk menyiapkan kenderaan ini.
HANYA tiga bulan untuk menyiapkan kenderaan ini.
Oleh Erywan Norshal


Pencapaian kereta yang menghiasi ruangan Modifikasi minggu ini sangat membanggakan kerana ia pernah menyertai pertandingan Autoshow di Surat Thani, Thailand dan dinobatkan sebagai kenderaan terbaik dari Malaysia pada Ogos tahun lalu.

Ternyata usaha pemiliknya, Abdul Azim Mohd Razali, 26, tidak sia-sia, malah mengharumkan nama Malaysia dalam industri permotoran tempatan pada peringkat rantau Asean.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk mencapai kejayaan itu kerana ia memerlukan pelaburan besar, yang mana Abdul Azim terpaksa mengeluarkan belanja sehingga RM100,000 untuk melakukan modifikasi.

Ubah suai luaran tidak terlalu ketara berikutan ia masih mengekalkan bentuk asal Perodua Myvi keluaran 2010, cuma menambah kit badan yang ditempah khas menggunakan

kaca gentian.

Ia tampak sporty selepas dipadankan spoiler GT, selain kedudukannya boleh direndahkan atau dinaikkan selepas dileng­kapi suspensi angin.

Malah, jentera ini turut meng­gunakan pintu gunting untuk membuatkan ia lebih unik dan menarik.

Badannya pula dibaluti pelekat grafik menggunakan konsep jentera perlumbaan Ford Fiesta ST yang dipandu pemandu rali terkenal, Ken Block.

Jika menjenguk ke ruang kabinnya, boleh dikatakan ia bertukar 100 peratus daripada bentuk asal. Ini berikutan ruang itu dipenuhi rekaan futuristik yang menggunakan kaca gentian bagi memenuhi pertandingan autoshow dalam kategori Perodua Ubahsuai.

Yang menarik, semua tempat duduknya menggunakan kerusi bucket jenama Sscus dan dilimpahi sebanyak 46 unit skrin 4.3 inci dan empat unit bagi skrin 19 inci.

Semua panel pintunya diubahsuai dengan menggunakan kaca gentian yang diceriakan warna hijau dan putih serta dipenuhi lampu LED.

Sistem audionya pula diting­katkan dengan padanan 20 unit pembesar suara pelbagai saiz jenama QMobile Audio untuk memberi bunyi lebih mantap.

Bawah bonetnya masih dilengkapi enjin asal, namun akan berubah beberapa bulan lagi de­ngan menggunakan rang­kaian kuasa turbo daripada Daihatsu YRV.

SPESIFIKASI:

Kos modifikasi:

-Hampir RM100,000

Ubah suai luaran:

-Bonet ditempah khas

-Spoiler GT

-Kit badan tempahan khas

-Suspensi angin

-Rim 17 inci jenama Vossen

Ubah suai dalaman:

-Papan pemuka ditempah khas

-Panel pintu ditempah khas menggunakan gentian kaca

-Tempat duduk 'bucket' Sscus

-46 unit skrin 4.3 inci

-Empat unit skrin 19 inci

-Bumbung matahari

-20 unit pembesar suara pelbagai saiz jenama QMobile Audio

-Stereng Momo

-Pemain XBox

Enjin:

-1.3 liter standard

Garaj:

-YH Car Audio

-RTW Free Style

-Nice Bodykit Station

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:00 AM