TAMPAK agresif.
TAMPAK agresif.
Oleh Erywan Norshal


Memiliki jiwa untuk mengubah suai adalah perkara subjektif untuk diterangkan kerana ada yang menganggapnya pembaziran atau lebih kepada hobi.

Namun, jika hobi ubah suai kereta boleh menaikkan nama selain mampu memberi ganjaran dalam bentuk wang tunai atau piala, itu adalah satu 'kerja' yang berbaloi.

Mungkin pemilik Perodua Myvi yang menghiasi ruangan Modifikasi minggu ini menjadi satu daripada contoh mereka yang berkecimpung dalam dunia pertandingan autoshow untuk mengejar kejayaan.

Kos mengubah suai kereta 'projek' ini mencecah lebih RM50,000 yang mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan.

Pemiliknya, Yap Chee Siong, 27, memilih konsep ekstrem untuk mengubah suai Perodua Myvi keluaran 2008 dengan menambah kit badan yang diperbuat daripada kaca gentian.

Bentuk badan kereta ini dilebarkan sehingga tiga inci untuk membuatkan lebih menarik dan direndahkan pada tahap maksimum menggunakan suspensi angin jenama RTW Free Style.

Lebih menarik lagi, seluruh badan jentera itu dicat dengan menggunakan semburan angin yang mengenakan konsep pelakon terkenal, Bruce Lee.

Semburan angin yang me­ngambil masa hampir lapan bulan itu dipadankan dengan tujuh gabungan warna berbeza dan menelan belanja hampir RM10,000.

Ruang dalaman turut diubah suai semula dengan menggunakan material kaca gentian dengan dipenuhi pembesar suara dan televisyen LCD bersaiz 32 inci serta 19 inci.

Bagi membuatkan ia lebih kemas, hanya kerusi pemandu diting­galkan dan yang lain dipenuhi de­ngan kaca gentian.

Selain itu, ruang but belakang tampak menarik apabila ia dipenuhi dengan lapan pembesar suara jenama Auto Tex, selain diceriakan dengan televisyen 14 inci.

Sementara itu, Yap berkata, kenderaan itu memenangi banyak pertandingan autoshow dan hampir 30 piala dimilikinya sejak berkecimpung dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, kenderaan itu kerap berubah wajah bagi memastikan ia sentiasa kelihatan lebih segar untuk memikat hati juri pertandingan autoshow.

SPESIFIKASI

KOS UBAH SUAI:

-RM50,000

UBAH SUAI LUARAN:

-Kit luaran tempahan khas menggunakan material kaca gentian

-Bampar depan dan belakang tempahan khas

-Bonet depan tempahan khas

-Spoiler tempahan khas

-Suspensi angin

-Semburan angin tema

-Bruce Lee

-Pintu gunting

UBAH SUAI DALAMAN:

-Papan pemuka tempahan khas

-Kerusi tunggal

-Televisyen 32 inci

-14 skrin LCD 3.5 inci

-Lapan pembesar suara Auto Tex

ENJIN:

-Standard yang dikemaskan

GARAJ:

-Jaz Air Brush

-Nice Body Kit

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:00 AM