KERETA perisai dengan senjata pembinasa kapal terbang ditempatkan berhampiran Kementerian Pertahanan di Sana'a. FOTO AFP
KERETA perisai dengan senjata pembinasa kapal terbang ditempatkan berhampiran Kementerian Pertahanan di Sana'a. FOTO AFP

KUALA LUMPUR: Penuntut Malaysia di Aden, Yaman kini berkurung di kediaman masing-masing berikutan serangan udara diketuai Arab Saudi bersama jiran sekutunya pada pagi Khamis.

Menurut seorang penuntut Malaysia di Seiyun, Hadhramaut, kira-kira 800 kilometer dari Sana'a, Aden, semua penuntut bertindak sedemikian bagi menjaga keselamatan masing-masing.

"Saya kurang pasti siapa yang mengeluarkan nasihat tersebut tetapi perkara itu disebar dalam kalangan komuniti pelajar di sini," katanya menerusi Facebook.

Beliau yang enggan dikenali menyatakan mereka berada dalam keadaan baik.

Buat masa ini, beliau masih tidak berniat untuk meninggalkan Yaman dan mengikuti perkembangan semasa melalui Facebook 'Persatuan Pelajar Malaysia Yaman'.

Facebook page berkenaan menyatakan kejadian berlaku jauh dari penempatan warga Malaysia di Sana'a.

Laporan asing menyebut serangan dilakukan bagi mengekang kemaraan pemberontak Houthi.

Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi dilapor meninggalkan Aden untuk ke Arab Saudi pada Khamis ketika pemberotak bertempur dengan pasukannya di pinggir bandar raya pelabuhan selatan.

Wisma Putra turut memaklumkan warga Malaysia selamat dari serangan, yang disahkan Kedutaan Malaysia di Sana'a. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 8:40 PM