Agensi

London: Lucas Leiva tegas mengatakan bahawa dia sedia melupakan spekulasi mengenai perpindahannya ke kelab lain dan berazam meneruskan apa yang dilakukannya untuk Liverpool sebelum ini.

Pemain Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan dari Anfield tetapi selepas tarikh akhir, dia tetap kekal sebagai pemain Reds.

Sebelum tarikh akhir perpindahan, pemain tengah itu membuktikan betapa dia amat penting buat pasukan dan ia dapat dilihat ketika menentang Arsenal di Stadium Emirates.

Walaupun mengakui dia ada peluang untuk keluar dari Anfield pemain berusia 28 tahun itu berkata dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Merseyside dalam masa terdekat ini.

“Secara jujur, saya memang sedikit tertekan sepanjang tempoh perpindahan yang baru lalu,” katanya.

“Kalau tidak silap, nama saya sering dikaitkan dengan perpindahan dan ia mula kedengaran sejak beberapa tahun lalu.

“Memang ada masanya saya terfikir untuk berpindah tetapi buat masa ini, komitmen saya hanyalah untuk Liverpool.

“Saya sudah lama di kelab ini dan saya selalu berkata jika saya diberi pilihan, saya akan sentiasa memilih Liverpool.

“Selaku pemain bola sepak, anda pasti terfikir untuk berpindah jika masa depan anda agak kelam tetapi perkara itu tidak berlaku kepada saya dan saya akan terus bersaing untuk menyelitkan diri ke dalam pasukan. Itulah yang saya lakukan sejak lapan tahun lalu.

“Saya akan terus berusaha meletakkan Liverpool di tempatnya. Saya komited untuk melakukannya. Saya sudah lama di sini dan saya sukakan kelab ini. Saya hanya perlu menumpukan perhatian terhadap usaha meningkatkan prestasi selain membantu pengurus menjalankan tugasnya.

“Saya harap dapat menjadi pemain penting buat kelab musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2015 @ 7:41 AM