RUMAH PR1MA Bandar Utama di Sungai Petani hampir 90 peratus siap.
RUMAH PR1MA Bandar Utama di Sungai Petani hampir 90 peratus siap.

Sungai Petani: Proses cabutan undi untuk kira-kira 970 unit rumah baru fasa pertama Projek Pembinaan Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) di Bandar Utama, Jalan Sidam Kiri, di sini, bakal diadakan pada pertengahan tahun ini.

Ia membabitkan seramai 1,872 pemohon berikutan rumah berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia Tan Sri Jamaludin Jarjis berkata, fasa terbabit adalah projek membabitkan 2,744 unit rumah kediaman bertanah yang akan dilengkapi dengan taman permainan, tadika, taska, padang rekreasi, surau dan dewan komuniti ditawarkan dalam projek PR1MA Sungai Petani.

“Projek ini dibuka untuk permohonan pada Januari lalu dan menerima sambutan amat memberangsangkan. Kami amat berpuas hati dengan perkembangan projek ini yang berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual,” katanya ketika mengadakan lawatan tapak projek PR1MA, di sini, baru-baru ini.

Projek di Sungai Petani itu adalah salah satu daripada 119,933 projek PR1MA seluruh negara yang diluluskan pembinaannya setakat ini dengan 37,063 unit daripadanya sedang dibina.

Beliau menggalakkan masyarakat terutama generasi muda memohon PR1MA termasuk mereka yang tiada pendapatan tetap melalui skim sewa beli yang dilaksanakan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:48 AM