Kuala Lumpur: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 April ini tidak akan menjejaskan harga rumah di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata, harga unit rumah itu akan terus kekal dijual pada harga 20 peratus lebih rendah berbanding perumahan lain di kawasan dan spesifikasi yang sama.

“Tiada sebab untuk harga unit PR1MA dinaikkan kerana GST itu sendiri bukanlah untuk kita menaikkan harga. Kerajaan akan terus konsisten untuk pastikan rakyat dapat memperoleh penjimatan sekurang-kurangnya 20 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BN-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Shahidan, setakat ini, Anggota Perbadanan PR1MA sudahpun meluluskan pembinaan 119,933 unit perumahan berkenaan yang membabitkan 95 projek di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 32 projek sudah berhasil memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang yang merangkumi 28,363 unit rumah untuk dibina dan kini berada dalam pelbagai peringkat pembangunan.

“Sekiranya lebih banyak Perintah Pembangunan diluluskan maka lebih banyak projek PR1MA dapat memulakan kerja pembangunan seperti mana di Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Perak dan Negeri Sembilan ketika ini.

“Saya juga menggalakkan pemohon PR1MA untuk mendapatkan pembiayaan perumahan daripada panel institusi perbankan seperti Maybank, MBSB dan CIMB yang bersetuju memberikan pinjaman sehingga 110 peratus,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) sama ada Perbadanan PR1MA bersedia memajukan perumahan kos rendah di kawasan bandar, Shahidan berkata, pada dasarnya ia dipersetujui.

“Mereka boleh berunding dengan Perbadanan PR1MA, namun perlulah mengikut syarat yang dikenakan dan PR1MA sendiri berdepan masalah tanah di bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 9:58 AM