Hairulazim Mahmud


“SEBANYAK RM3.29 bilion rumah PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia) akan mula dijual oleh 17 pemaju,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, semua pemaju terbabit adalah kumpulan pertama daripada 94 pemaju sudah menyiapkan lebih 90 peratus projek dijalankan dan baki 10 peratus lagi akan siap akhir tahun ini.

“Banyak rumah PR1MA berjaya dijual sepanjang Kempen Pemilikan Rumah (HOC) semurah RM250,000.

“Sebanyak 12,527 unit rumah bernilai RM3.29 bilion itu dibina 17 pemaju itu di seluruh negara,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian antara PR1MA dan pemaju.

Turut hadir, Pengerusi PR1MA, Tan Sri Eddy Chen dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Mohd Nazri Md Shariff.

Melalui perjanjian berkenaan, pemaju dan kontraktor turut bertanggungjawab menjual dan memasarkan unit dibina dalam usaha mengukuhkan kewangan PR1MA.

Ia adalah untuk memastikan masalah lambakan rumah PR1MA yang tidak terjual berjaya diselesaikan.

Mengikut amalan perniagaan sebelum ini, pemaju dan kontraktor hanya membina projek perumahan dan menerima bayaran bulanan daripada PR1MA.

Zuraida berkata, kerjasama baharu antara PR1MA dan rakan kongsi itu bagi memastikan aspirasi kerajaan supaya rakyat memiliki rumah sendiri tercapai dalam tempoh 10 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM10 bilion sudah diperuntukkan kepada PR1MA sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan RM9 bilion lagi untuk tahun ini tidak akan diserahkan kepada agensi berkenaan.

“Jual dahulu rumah yang ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 10:25 PM
ZURAIDA (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama pemaju pada Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian antara PR1MA dan pemaju di Subang Jaya, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.
ZURAIDA (barisan belakang, tujuh dari kiri) bersama pemaju pada Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian antara PR1MA dan pemaju di Subang Jaya, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi.