Kota Kinabalu: Tiga puluh tiga anggota bomba pelbagai pangkat dibuang kerja sepanjang 2014, berikutan terbabit dalam kegiatan salah laku.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata antara salah laku itu ialah terbabit dalam kegiatan jenayah dan disabitkan di mahkamah, penyalahgunaan dadah, tidak hadir bertugas tujuh hari berturut-turut tanpa sebab dan membuat tuntutan palsu.

“Kita memandang serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur dari segi integriti, produktiviti atau anggota yang tidak cekap dalam menjalankan tugas,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Forum Pemerkasaan Integriti Siri Pertama, di sini, hari ini.

Majlis penutupan forum itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Bolkiah Ismail yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Kira-kira 480 anggota bomba serta pegawai kerajaan negeri menghadiri forum sehari itu.

Wan Mohd Nor berkata, sepanjang 2014, Pihak Berkuasa Tatatertib JBPM sudah bersidang 56 kali dan sepanjang tempoh itu, sebanyak 137 kes tatatertib dikendalikan dan diputuskan berbanding 88 kes pada tahun 2013.

“Peningkatan 56 peratus itu merupakan impak positif terhadap penubuhan Unit Integriti JBPM yang memusatkan semua aktiviti integriti termasuk Urusetia Lembaga tatatertib di bawah satu unit,” kataya.

Sementara itu, Musa berkata, kerajaan negeri komited dalam mengukuhkan dan memantapkan nilai budaya integriti dalam kalangan penjawat awam di Sabah.

Dalam ucapannya yang disampaikan oleh Bolkiah, Ketua Menteri itu berkata perkhidmatan awam tidak lagi sekadar mengadaptasi perubahan, malah perlu selangkah ke hadapan sebagai pemacu, pemikir dan pelaksana perubahan yang menjurus kepada kesejahteraan rakyat dan negara.

“Ini adalah sejajar dengan pelaksanaan inisiatif pemodenan dan transformasi pentadbiran awam yang menjadi teras kepada inisiatif meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Musa berkata usaha berterusan akan diambil untuk memperbaiki dan mengukuhkan peranan pasukan petugas pengawasan integiriti sebagai memastikan pematuhan ke atas disiplin dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam di negeri ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 8:34 PM