HISHAM (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 54 penerima. FOTO Siti Rohana Idris
HISHAM (tengah) menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 54 penerima. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 80 aduan diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi Unit Integriti membabitkan pelbagai kesalahan yang dilakukan pegawai, anggota dan kakitangannya sepanjang 2023.

Ia membabitkan 52 aduan berkaitan salah laku, skandal atau seksual (7), salah guna kuasa (7), rasuah (4), pentadbiran (4), pengurusan (3), penyelewengan (2) dan kes kewangan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, 35 adalah aduan berasas dengan empat anggota sedang menjalani tindakan manakala tujuh disyorkan tindakan tatatertib.

"Ada sedikit peningkatan daripada tahun sebelumnya namun daripada segi peratusan, ia sangat rendah berbanding populasi kami seramai 16,000.

"Empat kes sedang menjalani tindakan maksudnya dalam proses disiplin. Contoh, jika babitkan kes dadah, apabila sudah dibawa ke mahkamah, mereka akan ditahan kerja dan selagi tidak dijatuhi hukuman, tak boleh ambil tindakan seterusnya," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di sebuah hotel di sini, bagi menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan penyampaian sijil perkhidmatan 30 tahun JBPM Kelantan kepada pegawai, anggota serta kakitangan terpilih.

Nor Hisham berkata, pihaknya mengambil serius dan cakna setiap kes salah laku yang berlaku dan keperibadian sahsiah diri setiap pegawai di dalam jabatan.

"Kepada pegawai yang terbabit dengan salah laku tatatertib yang serius, tidak ada kompromi dan rayuan. Jadilah pegawai yang beretika, berketrampilan, berintegriti dan saling menghormati supaya boleh dijadikan contoh buat generasi baru wira merah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 2:36 PM