STERLING (kanan) berjaya memperagakan persembahan terbaik. FOTO Reuters
STERLING (kanan) berjaya memperagakan persembahan terbaik. FOTO Reuters
AFP

Burnley: Mauricio Pochettino menggesa Raheem Sterling untuk membuktikan bos England Gareth Southgate salah selepas penyerang Chelsea itu memberi inspirasi kepada kemenangan 4-1 ke atas Burnley.

Sterling diketepikan daripada skuad England untuk perlawanan persahabatan menentang Australia dan kelayakan Euro 2024 bertemu Itali.

Bekas bintang Manchester City itu tidak bermain untuk England sejak Piala Dunia tahun lalu di Qatar dan Southgate memilih untuk meninggalkannya daripada dua skuad terakhir.

Southgate mempunyai banyak pilihan di posisi serangan England, tetapi Sterling menunjukkan kualiti yang dia boleh berikan untuk membantu Chelsea menang di Turf Moor selepas pemain remaja Perancis, Wilson Odobert menjaringkan gol pembukaan buat Clarets.

Hantaran silang Sterling mengenai Ameen Al Dakhil untuk gol penyamaan dan dia juga memperoleh penalti yang dijaringkan Cole Palmer.

Dia sendiri berjaya mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-65 sebelum Nicolas Jackson menjaringkan gol pada lewat permainan.

"Saya rasa pemain yang berpengalaman tahu dia perlu beraksi dan menunjukkan kepada pengurus pasukan kebangsaan dia tersilap dalam membuat keputusan," kata Pochettino.

"Hanya dengan persembahan dan menjaringkan gol, dia akan menunjukkan dia layak terpilih."

Pochettino turut bergembira dengan Chelsea mencatatkan kemenangan liga berturut-turut buat kali pertama sejak Mac dan menjaringkan empat atau lebih gol buat kali pertama sejak menewaskan Southampton 6-0 pada April 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 11:40 AM