AFP

Manchester: Penyerang Ivory Coast, Wilfried Bony (gambar) percaya Manchester City perlu memburu mata maksimum daripada baki 11 perlawanan Liga Perdana Inggeris jika mahu mengejar pendahulu Chelsea.

Pasukan juara bertahan kendalian Manuel Pellegrini itu berdepan kelab bermasalah Leicester City di Stadium Etihad, awal pagi esok dengan ketinggalan lima mata berbanding anak buah Jose Mourinho yang turut beraksi kurang satu perlawanan.

Bony mengaku harapan City mempertahankan kejuaraan agak tipis.

“Ia amat sukar sekarang. Jika Chelsea menang lagi, amat sukar untuk merapatkan kedudukan dengan mereka,” ujar Bony.

“Masih ada 11 perlawanan bakal ditempuhi dan kami harap mereka akan keciciran mata.

“Bukan setiap perlawanan sama. Kami perlu berusaha menang semua baki perlawanan dan meraih mata maksimum kerana ia lebih sukar berbanding sebelum ini.

“Kami mesti menang Rabu (awal pagi esok) dan kemudian terus menang, ia sukar buat kami, tapi kami masih berharap mampu melakukannya.”

Bony, yang menyertai City dengan harga £28 juta (RM156 juta) Januari lalu, masih menanti peluang beraksi dalam kesebelasan utama bersama kelab barunya itu.

Dia beraksi sebagai pemain gantian ketika kalah 1-2 kepada Liverpool di Anfield, Ahad lalu menyaksikan anak buah Pellegrini gagal mengurangkan defisit dengan Chelsea yang menjulang Piala Liga pada hari sama.

Pengurus dari Chile itu mempunyai tugas getir menyemarakkan semula semangat pemainnya bagi mengelakkan satu lagi kesilapan menentang pasukan tercorot Leicester.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:07 AM