RAZIP perlukan skuad terbaik hadapi kelayakan AFC B-23.
RAZIP perlukan skuad terbaik hadapi kelayakan AFC B-23.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kelana Jaya: Walaupun menggalas tugas penting, pengendali Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee (baju merah) bersikap profesional apabila memberikan keutamaan kepada jurulatih Bawah 22 Tahun (B-22) Razip Ismail untuk memilih barisan pemain terbaik bagi menggalas cabaran kelayakan Kumpulan I Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2016 hujung bulan ini.

Kim Swee yang turut berada dalam rangka persiapan menghadapi tugas getir meraih pingat emas Sukan SEA Singapura pada Jun, jelas tidak mahu ‘bergaduh’ walaupun pada masa sama turut mempunyai kem latihan pusat di Bangkok, Thailand dari 15 hingga 31 Mac ini dengan saingan kelayakan Piala AFC membabitkan B-22 berlangsung di Stadium Shah Alam pada 27 hingga 31 Mac.

“Pemain yang saya pilih untuk aksi persahabatan di Bangkok banyak bergantung kepada Razip kerana keutamaan sudah semestinya B-22. Terpulang kepada Razip sama ada mahu memanggil pemain yang menjalani latihan ketika ini atau sebaliknya.

“Saya akan panggil mereka yang tidak terpilih untuk digabungkan bersama pemain berusia 23 tahun,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Kim Swee memanggil 17 pelatih untuk kem latihan fasa pertama bermula Ahad lalu dengan semua pemain yang dipanggil masih layak menyertai skuad B-22 kendalian Razip.

“Bagi saya 17 pemain yang dipanggil penting untuk diberikan pendedahan di pentas antarabangsa. Tiga aksi persahabatan termasuk kemungkinan menentang B-22 Korea Utara bakal melonjakkan potensi sebenar mereka,” jelasnya.

Mengulas sesi latihan singkat berakhir semalam, Kim Swee berkata, semua pemain mempamerkan komitmen tinggi dan ada beberapa pemain mampu bersaing dengan pemain sedia ada.

“Saya tidak berhasrat mengumumkan pemain terpilih terlebih dulu. Ia akan dimaklumkan pada kem latihan fasa kedua 15 Mac, bergantung kepada senarai pemain dipilih Razip.”

Skuad Sukan SEA diletakkan sasaran merampas kembali pingat emas walaupun dijangka berdepan laluan sukar terutamanya daripada Thailand yang meraih pencapaian cemerlang sejak kebelakangan ini apabila melangkah ke separuh akhir Sukan Asia, memenangi emas Sukan SEA 2013 dan juara Piala AFF 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:48 AM