Branson
Branson
Agensi

Jakarta: Pengasas Virgin Group, Richard Branson, menyertai kempen menyelamatkan nyawa 10 pesalah dadah yang menunggu pelaksanaan hukuman mati di penjara Indonesia dengan menulis surat terbuka kepada Presiden Jokowi, semalam.

Sebagai anggota Suruhanjaya Dasar Narkotik Global, Branson berkata, masalah dadah perlu ditangani sebagai isu kesihatan berbanding jenayah.

Katanya, pendekatan itu terbukti dapat menangani masalah dadah seperti yang berlaku di beberapa negara lain, termasuk Portugal.

“Kami sangat menghargai undang-undang Indonesia dan menghargai tanggungjawab anda sebagai presiden untuk menjaga agar negara dan penduduk Indonesia supaya aman daripada sebarang ancaman.

“Bagaimanapun, sebagai aktivis reformasi dasar narkotik, kami meneliti pelbagai pendekatan berbeza dengan teliti.

“Hasilnya didapati menangani narkotik sebagai masalah kesihatan dapat menurunkan angka kematian, mengekang penularan penyakit seperti HIV, AIDS atau hepatitis.

“Ia juga membuka peluang kepada penagih menjadi orang lebih berguna,” katanya.

Surat itu ditandatangani bekas Presiden Brazil, Fernando Henrique Cardoso yang juga ketua suruhanjaya berkenaan, serta bekas Presiden Switzerland, Ruth Dreifuss.

Seramai 10 orang banduan menghitung detik terakhir dalam hidup mereka selepas kerajaan memutuskan hukuman mati tetap dilaksanakan.

Mereka ialah dua warga Australia dan masing-masing seorang warga Brazil, Perancis, Ghana, Nigeria dan empat warga Indonesia.

Hukuman mati bersifat tidak bertamadun serta terbukti gagal memberi kesan takut kepada penjenayah.

“Saya bersama Henrique dan Dreifuss memohon pengampunan daripada anda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:19 AM