Kisah bermula apabila bapa saudara yang dikenali seorang yang baik, bertanggungjawab dan amanah berkahwin seorang lagi padahal dia mempu­nyai seorang isteri dan tujuh anak.

Apabila rahsianya terbongkar, dia dipaksa anak-anaknya menceraikan isteri kedua.

Isteri pertama menjadi kurang waras akibat tekanan perasaan dan atas dasar terpaksa, bapa saudara menceraikan isteri keduanya.

Namun isteri pertama tidak berubah. Dia menangis, meraung dan menjerit tanpa mengira masa.

Ada kalanya dia akan berkelakuan aneh seperti membaling barang dan lari dari rumah.

Pelbagai usaha dilakukan bapa saudara termasuk membawanya berjumpa doktor dan pakar perubatan Islam, namun tidak berhasil.

Minta nasihat dan pandangan datuk mengenai situasi perlahwinan mereka dan penyelesaian terbaik yang boleh menjernihkan semula keadaan.

Anak Saudara Prihatin,

Kuala Lumpur

Apa yang berlaku kepada bapa saudara itu adalah fenomena biasa kerana banyak kes seumpama ini berlaku dalam masyarakat kita, cuma ia tidak dilaporkan.

Puncanya kerana isteri begitu fobia mendengar berita suaminya berpoligami.

Sebenarnya, isu poligami tidak akan menjadi kecoh jika semua pihak melihatnya dari sudut positif. Ini kerana Islam membenarkan lelaki beristeri lebih daripada satu, malah sehingga empat.

Poligami bertujuan mendatangkan kebaikan kepada wanita, memberi perlindungan, kasih sayang dan nafkah (tempat tinggal, makan minum dan pakaian).

Sejarah lelaki berpoligami bukan bermula daripada syariat Islam dibawakan Nabi Muhammad SAW seperti tohmahan orientalis Barat.

Amalan poligami berlaku sejak ribuan tahun lalu, sesuai dengan tabii manusia.

Umat nabi terdahulu me­ngamalkan poligami, termasuk penganut agama lain.

Masyarakat Barat juga pernah menerima amalan berpoligami, sebelum diharamkan undang-undang gereja dan kemudiannya digubal menjadi undang-undang negara.

Perlu ditegaskan bahawa kebenaran lelaki berkahwin sehingga empat orang pada satu-satu masa bukan bersifat memenuhi hawa nafsu semata-mata kerana poligami dibebani tanggungjawab lebih besar.

Adalah wajar bagi wanita yang dimadukan tidak hanya memikirkan nasibnya dimadukan, tetapi nasib wanita lain yang hidup tanpa suami.

Berkongsi suami lebih baik daripada tidak bersuami.

Wanita perlu meyakini keharusan berpoligami dalam syariat Islam adalah juga untuk kebaikan wanita.

Allah tidak membenarkan sesuatu melainkan mendatangkan kebaikan.

Apakah nasib isteri jika Islam tidak membenarkan poligami, sedangkan suami hendakkan sesuatu yang tidak mampu dipenuhi isterinya.

Suami terpaksa membuat pilihan sama ada terus bersama isteri yang tidak mampu memenuhi keperluannya atau menceraikan isterinya dan mencari wanita lain tetapi melalui kebenaran poligami, suami tidak perlu berbuat demikian.

Allah menegaskan betapa pentingnya suami menjalankan tugas dengan adil dan bertanggungjawab.

Firman Allah SWT bermaksud: ‚Dan sesungguhnya kamu bersedudukan berumahtangga (dengan penuh mesra dan kasih sayang) dengan perempuan (yang kamu kahwini) itu dengan demikian kamu telah mengambil satu perjanjian yang amat berat.' (Surah an-Nisa, ayat 21).

Perkara utama disyarat untuk suami berpoligami ialah adil dalam aspek nafkah zahir dan batin, kasih sayang, agihan masa, perhatian serta perkara lain yang sepatutnya menjadi hak bahagian setiap isteri dan anak-anak.

Biarpun nafkah zahir atau wang ringgit boleh dikira, hakikatnya keadilan masih sukar untuk diterjemahkan.

Keadilan dalam berpoligami bermakna suami melihat isteri-isteri dalam satu dimensi sama. Suami tidak membezakan kecantikan, umur dan perkara lain yang berkaitan kelebihan dan kekurangan seseorang isteri.

Allah SWT juga mengingatkan suami supaya tidak membiarkan isteri tanpa hak sewajarnya.

Namun, jika suami telah berusaha berlaku adil, mana-mana kekurangan yang dilakukan akan Allah ampunkan.

Apapun, suami berpoligami perlu bersikap jujur menunaikan hak setiap isterinya mengikut kemampuan. Penentuan kemampuan suami berlaku adil terletak pada diri suami sendiri.

Islam mengharuskan poligami bertujuan kebaikan dan dengan demikian suami ditegah berpoligami jika dirasakan akan mendatang­kan keburukan, terutama­nya menyebabkan berlaku zalim terhadap isteri.

Akan tetapi persoalan isteri tidak dapat menerima hakikat suaminya berkahwin lain setelah suaminya melaksanakan semua tanggungjawab adalah di luar daripada kemampuan suami menangani perkara itu.

Justeru, saya berpendapat inilah cabaran terbesar terpaksa dilalui suami yang berpoligami tanpa pengetahuan isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:00 AM