Jamil Khir
Jamil Khir
Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur : Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membina lebih banyak tanah perkuburan Islam berkonsepkan kubur dalam taman (raudhatul sakinah) di sekitar ibu kota dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga pengerusi MAIWP berkata, jumlahnya akan dibina berdasarkan jumlah tanah rizab kubur yang ada dan tidak membabitkan tanah kubur sedia ada.

Katanya, kubur dalam taman itu dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau selain sistem elektronik untuk keluarga mengenal pasti di mana kubur anggota keluarga mereka.

“Kubur juga dibahagikan membabitkan kawasan wanita, lelaki serta kanak-kanak manakala batu nisannya pula mempunyai reka bentuk sama.

“Jika semuanya berjaya, konsep kubur dalam taman itu akan dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.

Jamil Khir berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sekolah RendahAgama (SRA) Abu Dzar Al-Ghifari yang dibina dengan kos RM7.42 juta di Taman Beringin, Jinjang Utara di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 2:48 PM