Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Keluarga Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan mereka membina sebarang binaan, termasuk berbentuk pagar di kubur arwah di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, di sini.

Sebaliknya, anak arwah, Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam kenyataan di laman sosial Facebook berkata, binaan itu dibuat penduduk kampung dan anak murid Nik Abdul Aziz tanpa pengetahuan keluarga.

Ia bertujuan untuk mengelak perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Tujuannya baik iaitu untuk mengelak perbuatan bidaah yang bertentangan dengan Islam oleh mereka yang jahil dan rosak hati.

“Mereka yang datang dari luar mengambil tanah untuk tujuan berkat yang hakikatnya adalah ‘sesat’.

“Bagaimanapun, pihak keluarga tidak setuju dengan binaan itu dan kami sepakat ia diletakkan status ‘sementara’ dan akan dipindahkan dalam tempoh terdekat, insya-Allah.

“Kubur ayahanda akan kekal dengan sunah, tanpa binaan selain batu nisan,” katanya.

Kelmarin, gambar kubur bekas Menteri Besar Kelantan itu menjadi viral di laman sosial apabila binaan berbentuk pagar dibina untuk mengelak kegiatan tidak diingini sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai.

Nik Abdul Aziz meninggal dunia akibat barah prostat pada 12 Februari lalu di rumahnya di Kampung Pulau Melaka.

Nik Mohamad Abduh sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan menasihati orang ramai supaya mengikut sunah Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi pusara ayahandanya dan melarang perlakuan yang boleh dianggap khurafat ketika menziarahi pusara Allahyarham.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 9:08 AM