Kuala Lumpur: Pameran Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Ekologi Antarabangsa (IGEM) 2015 dijangka menjana potensi perniagaan sebanyak RM1.2 bilion dan terus memacu pembangunan industri hijau di Malaysia seiring inovasi terkini berkaitan produk serta perkhidmatan hijau di pasaran.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, IGEM kali keenam itu bukan sahaja menekankan pertumbuhan dan kemajuan teknologi hijau melalui pendekatan dinamik, malah menjadikan Malaysia sebuah negara yang lestari untuk diwarisi generasi akan datang.

“IGEM adalah sebahagian daripada usaha negara untuk memupuk perniagaan hijau di Malaysia dengan memberikan platform bagi syarikat yang diiktiraf untuk membabitkan diri dengan pihak berkepentingan, menjana jualan dan melonjakkan ekonomi negara.

“Siri pameran selama empat hari ini bermatlamat untuk mengumpulkan seramai 400 usahawan tempatan dan antarabangsa dari 20 negara dan menyasarkan 60,000 pengunjung,” katanya pada majlis pelancaran IGEM2015, semalam.

Pameran itu akan berlangsung dari 9 hingga 12 September 2015 yang bertema ‘Memperkasakan Ekonomi Hijau’ dan menyasarkan penyertaan daripada pelbagai sektor antaranya kerajaan, pengilang dan pengeluar, bank, pelabur, NGO, ahli akademik dan pelajar.

Sehingga kini, KeTTHA dan Greentech Malaysia sedang giat menjalankan aktiviti promosi di dalam dan luar negara seperti China dan Australia. Tahun lalu, IGEM 2014 berjaya menarik penyertaan 357 syarikat dan 49,812 pengunjung, sekali gus mencatatkan rekod tersendiri dengan transaksi serta peluang perniagaan berjumlah RM1.9 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:49 AM