TUAN Ibrahim memberi ucapan sempena pelancaran IGEM 2021 secara maya. FOTO Facebook Virtual IGEM 2021
TUAN Ibrahim memberi ucapan sempena pelancaran IGEM 2021 secara maya. FOTO Facebook Virtual IGEM 2021
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Product Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2021 dijangka mampu menjana lebih RM5 bilion potensi pelaburan biarpun diadakan secara maya tahun ini.

IGEM yang dianjurkan secara maya di www.igem.my antara 1 Julai hingga 31 Disember ini bakal menampilkan hampir 300 pempamer dari 50 negara dan dijangka menarik kunjungan 30,000 pelawat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, IGEM adalah platform ideal untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor tenaga hijau.

Katanya, IGEM dapat memangkinkan penerapan teknologi hijau di negara dan rantau ini disebabkan oleh pasaran Asean yang sedang berkembang pesat.

"Selaras dengan ini, IGEM juga adalah satu acara yang penting di rantau ini untuk mengetengahkan inovasi dan solusi melalui applikasi teknologi hijau bagi menangani perubabahan iklim serta isu alam sekitar yang lain.

"Kami menjangkakan impak yang lebih besar dari IGEM tahun ini berbanding dengan tahun lalu.

"Sepanjang tempoh enam bulan ini, platform maya ini akan menawarkan lebih banyak inisiatif serta peluang kepada semua peserta dalam memupuk kesedaran terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya pada ucapan sempena pelancaran IGEM 2021 secara maya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, IGEM sudah memainkan peranan penting sepanjang 11 tahun penganjurannya dalam membangunkan ekonomi hijau yang berkembang pesat di Malaysia dan luar negara.

"Saya juga yakin bahawa IGEM tahun ini akan memainkan peranan yang sama seperti tahun sebelumnya serta memberikan lebih banyak peluang untuk sesi perkongsian idea dan inovasi," katanya.

Selepas lebih sedekad penganjurannya, IGEM telah berjaya mencapai lebih RM30 bilion potensi pelaburan dan kunjungan daripada 500,000 pelawat termasuk orang kenamaan, pihak berkepentingan dan syarikat dari lebih 79 negara seluruh dunia.

Acara enam bulan ini akan mengetengahkan tema daripada pelbagai aspek industri mampan bermula dengan tema Teknologi Hijau (Julai), Air (Ogos),Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (September), Kemampanan (Oktober), Pembiayaan Hijau (November) dan Tenaga dan e-Mobiliti (Disember).

Setiap tema bulanan ini akan dilengkapi dengan acara persidangan dan aktiviti serta maklumat terkini berkaitan sektor terbabit, hasil daripada perkongsian pakar industri.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bertindak sebagai rakan strategik sepanjang pelaksanaan IGEM bagi membantu sesi padanan perniagaan serta mengadakan bengkel pelaburan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 1:42 PM