MAHDZIR  (tengah) beramah mesra dengan peserta pada pelancaran Persidangan Antarabangsa Produk Teknologi Hijau & Eko 2014 di Kuala Lumpur, semalam.
MAHDZIR (tengah) beramah mesra dengan peserta pada pelancaran Persidangan Antarabangsa Produk Teknologi Hijau & Eko 2014 di Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Malaysia Green Technology Corporation (Green Tech Malaysia) menyasarkan 50 projek teknologi hijau diluluskan dengan nilai pelaburan mencecah RM1 bilion tahun ini.

Jumlah sasaran itu membabitkan penyaluran RM950 juta Skim Kewangan Teknologi Hijau (GTFS) kepada pemain industrinya serta menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan terkumpul mencecah RM2.5 bilion sejak diperkenalkan pada 2010.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Hadri Haris berkata, GTSF yang diperuntukkan sehingga 31 Disember 2015 setakat ini sudah menyalurkan RM2 bilion bagi pembangunan 150 projek bernilai RM3 bilion dan mampu menawarkan 2,500 peluang pekerjaan.

"GTSF kini semakin mendapat perhatian syarikat yang ingin menyertai sektor teknologi hijau yang setakat tahun ini kita sudah meluluskan sekitar 30 projek bernilai RM370.9 juta dengan kos teknologi hijau RM683 juta .

"Malah, penyaluran skim ini juga merancakkan sektor kewangan Islam memandangkan 40 peratus daripada platform salurannya dari institusi itu," katanya selepas pelancaran Persidangan Antarabangsa Produk Teknologi Hijau & Eko 2014 (IGEM 2014) di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut merasmikan persidangan berkenaan serta Duta Belanda ke Malaysia, Harry Molenaar.

IGEM disertai 600 peserta dalam pelbagai sektor menampilkan pakar teknologi hijau terkemuka dari seluruh dunia untuk berkongsi penyelidikan, pandangan serta sumbangan mereka memacu pertumbuhan industri hijau negara pada 15 dan 16 Oktober ini.

Sementara itu, Mahdzir dalam ucapannya berkata, IGEM memainkan peranan penting mewujudkan kesedaran kepada pemain industri dan orang awam mencapai hasrat Malaysia mencapai 40 peratus pelepasan karbon berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

"Hasrat itu adalah ikrar yang dibuat oleh kerajaan ketika Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Compenhagen 2009 untuk mengurangkan pelepasan karbon dan ketika ini kita mencatatkan pengurangan intensiti karbon melebihi 33 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:43 AM