Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mahu projek Langkawi Karbon Rendah 2030 menjadi kenyataan dalam usaha mengembangkan keupayaan teknologi hijau negara.

Perdana Menteri berkata, untuk itu satu kajian kebolehlaksanaan projek perintis berkenaan dijalankan dengan Pulau Jeju di Korea Selatan sebagai tanda aras perbandingan.

“Jika Langkawi boleh menjadi contoh penggunaan tenaga diperbaharui, mobiliti elektrik, pengurusan sisa buangan dan bangunan hijau, ia memberi kesan berganda kepada industri tempatan.

“Selain itu ia mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan meningkatkan hasil pulau terkenal itu menerusi pelancongan hijau,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Keenam Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM 2015) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Dalam pada itu Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kitar semula membawa banyak manfaat kepada ekonomi kerana ia mewujudkan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan baru, menjana pendapatan menerusi jualan barangan kitar semula dan membantu negara memulihara sumber mentah negara.

“Malaysia sewajarnya mampu mengitar semula 40 peratus sisa buangannya menjelang 2020 berbanding 14 peratus sekarang. Ini memberi manfaat ekonomi dengan penjimatan RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Najib berkata, perniagaan hijau dijangka menyumbang lebih RM22 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020 dan RM60 bilion 10 tahun kemudian.

Sementara itu, menurut Perdana Menteri, Malaysia diunjur mencapai pengurangan keamatan gas rumah hijau dalam KDNK sebanyak 35 peratus menjelang akhir tahun ini selaras komitmen negara mengurangkan pelepasan karbon sehingga 40 peratus pada 2020.

Kata beliau, itu menunjukkan usaha gigih negara mencapai pembangunan lestari termasuk pelepasan tahap rendah, dan pada masa sama menangani impak perubahan iklim.

“Dalam persediaan negara mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita perlu menyesuaikan dengan ekonomi yang memberikan keseimbangan sebenar antara pendekatan hijau dan properniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:36 AM