DR Ongkili   (dua dari kiri)    menyaksikan Ahmad Hadri  (kiri) bertukar  dokumen  dengan  Mohd Ibrahimnuddin   selepas majlis perasmian IGEM 2016.
DR Ongkili (dua dari kiri) menyaksikan Ahmad Hadri (kiri) bertukar dokumen dengan Mohd Ibrahimnuddin selepas majlis perasmian IGEM 2016.
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech) menjalin kerjasama dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) bagi menyediakan kemudahan 66 stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang dijangka lengkap sepenuhnya pada separuh pertama 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech, Ahmad Hadri Haris berkata, stesen pengecas terbabit dibangunkan secara berperingkat-peringkat di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dengan peruntukan pelaburan RM2.2 juta.

Beliau berkata, setakat ini ada tiga stesen minyak Petronas dilengkapi kemudahan mengecas itu dan dari semasa ke semasa perbincangan dilakukan bagi memperkukuh dan melicinkan perancangan berkenaan.

“Dalam kerjasama itu, kami menyediakan kepakaran khususnya daripada segi pengetahuan bersama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam usaha mengembangkan ekosistem industri automotif berteraskan tenaga hijau.

“Sementara itu, PDB pula berperanan menyediakan ruang tempat letak kereta serta infrastruktur asas lain bagi kegunaan pelanggan mengecas kenderaan EV mereka, serta menyerap kos elektrik dikenakan kepada pengguna buat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa ke-7 (IGEM 2016) yang dirasmikan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri S K Devamany, Ketua Setiausaha KeTTHA Datuk Seri Dr. Zaini Ujang serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunos.

IGEM 2016 yang berlangsung empat hari itu bermula 5 hingga 8 Oktober itu menghimpunkan profesional dan pakar industri teknologi hijau dari 30 negara seluruh dunia dengan 400 pempamer yang menampilkan teknologi serta produk dalam industri terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 7:40 AM