Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko ke-7 (IGEM 2016) dijangka bakal menjadi platform memperkukuhkan sektor teknologi hijau negara dengan jangkaan menjana potensi pelaburan dan perniagaan RM1.5 bilion.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri S K Devamany berkata, acara tahunan itu bersifat dinamik dalam menjadikan Malaysia destinasi pelaburan terbaik dunia dalam industri hijau serta tenaga yang boleh diperbaharui di samping menjalin lebih banyak kerjasama dagangan.

Beliau berkata, pada penganjuran kali ini pihaknya yakin ia dihadiri 30,000 peserta perdagangan dan pelawat awam dari 30 negara seluruh dunia.

“Malaysia terletak di tengah-tengah rantau ASEAN di mana ia lokasi strategik mengembangkan potensi dan kelebihan pasaran hijau ke tahap lebih efisien dan menyeluruh.

“Sejak penganjuran pertamanya, IGEM menyumbang kepada pertumbuhan platform inovasi dan perniagaan teknologi hijau terbesar di rantau ini sekali gus mewujudkan rangkaian pasaran dinamik kepada pemain industri,” katanya pada sidang media previu IGEM 2016 di sini, semalam.

IGEM 2016 akan diadakan pada 5 hingga 8 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan 400 tapak pameran disediakan merangkumi pelbagai jenis segmen teknologi hijau.

Devamany berkata, dalam tempoh enam tahun lalu, IGEM menjana pegangan perniagaan RM8 bilion dengan penyertaan lebih 2,000 pempamer dan meraih kunjungan 300,000 pelawat awam dan dagangan dari negara seperti China, Jerman, Jepun, Belanda, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 7:10 AM