HUSNI Salleh
HUSNI Salleh
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) kelolaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan EKUINAS menerima peruntukan sebanyak RM30 juta bagi tempoh 2014 dan 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Husni Salleh berkata, setakat ini sebanyak RM7 juta sudah digunakan untuk membantu syarikat di bawah skim berkenaan yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Sebahagian besar peruntukan digunakan untuk mengurangkan kos prapenyenaraian yang menjadi antara cabaran utama perlu dihadapi syarikat dalam usaha menyenaraikan syarikat mereka," katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Menurutnya, usaha menyenaraikan syarikat di Bursa Malaysia adalah langkah penting memandangkan ia menjadi batu loncatan kepada syarikat untuk lebih dikenali.

"Sekiranya mereka disenaraikan, pelabur antarabangsa akan mula memberi perhatian dan akan menjadikan syarikat ini lebih berdaya saing di pasaran lebih mencabar.

"Malah, mereka berpeluang melonjakkan portfolio masing-masing melalui aktiviti penyenaraian," katanya.

Sehingga kini, lapan syarikat di bawah SJJB berjaya disenaraikan dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM5.4 bilion. Setakat Oktober lalu, TERAJU dan EKUINAS menilai 44 syarikat dengan lima penyertaan baru diterima untuk pertimbangan dengan kebanyakan syarikat ialah dari sektor minyak dan gas serta teknologi.

Menurutnya, dengan peningkatan jumlah syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia, pihaknya menjangkakan jumlah modal pasaran meningkat kepada RM10 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

SJJB dilancarkan pada 2007 bagi menyediakan bantuan kontrak peringkat terakhir dan pemudahan dengan pihak berkuasa kawal selia kepada syarikat Bumiputera yang layak.

TERAJU bertanggungjawab bagi pemasaran dan menghadapi pasaran dengan syarikat yang berpotensi, pelaksanaan, pemantauan dan pengesanan manakala, Ekuinas bertanggungjawab dalam memilih syarikat dan menyediakan khidmat nasihat yang menyeluruh serta membangunkan pelan pewujudan nilai dan pelan penyenaraian untuk syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:20 AM