SYED Yasir Arafat. FOTO Arkib NSTP
SYED Yasir Arafat. FOTO Arkib NSTP
Mahanum Abdul Aziz

Kuala Lumpur: Pelaburan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) terus memacu peningkatan pemilikan ekuiti Bumiputera untuk meningkat kepada RM6.5 bilion atau 1.6 kali ganda modal yang dilaburkan.

Malah, jumlah nilai pemegang saham juga meningkat kepada RM8.2 bilion atau 2.1 kali ganda modal yang dilaburkan, sementara penyertaan Bumiputera dalam pengurusan di syarikat portfolio meningkat sebanyak 21.9 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, Ekuinas terus menyokong pembangunan ekonomi dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.4 bilion dan jumlah penyaluran dana sebanyak RM5.1 bilion, bersama pasukan pengurus dana penyumberan luar.

Beliau berkata, pada akhir 2022, portfolio pelaburan kumulatif Ekuinas terdiri daripada 42 syarikat, yang mana 24 adalah melalui pelaburan langsung dan 18 melalui pengurus dana penyumberan luar.

Katanya, penciptaan nilai akan terus menjadi tumpuan utama dalam usaha Ekuinas untuk merangsang pertumbuhan syarikat portfolio menerusi pendekatan unik yang disesuaikan mengikut peluang dan cabaran setiap syarikat.

"Kami akan terus meninjau peluang pelaburan baharu dan meningkatkan nilai syarikat portfolio.

"Kami melihat peluang pertumbuhan yang cerah dalam sektor minyak dan gas, logistik, penjagaan kesihatan dan elektrik dan elektronik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Ekuinas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Ekuinas, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Mengenai tinjauan 2023, Syed Yasir Arafat berkata, tahun 2023 akan menjadi tahun yang mencabar.

Beliau berkata, pihaknya terbuka untuk keluar daripada pelaburan melalui tawaran awam permulaan (IPO) atau jualan perdagangan, bergantung kepada penilaian yang bakal diperoleh.

Katanya, Ekuinas terbuka kepada rancangan untuk menyenaraikan syarikat portfolio pelaburan segmen runcitnya, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd (Al-Ikhsan).

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan sama ada untuk keluar daripada pelaburan dalam Al-Ikhsan tahun ini atau sebaliknya.

Bagi tahun kewangan berakhir 2022, syarikat portfolio Ekuinas mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 30.2 peratus dan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 31.3 peratus, jauh menjangkaui pertumbuhan pada tahun kewangan berakhir 2021 dengan nilai 12.3 peratus dan 27.2 peratus.

Pada tahun kewangan berakhir 2022, Ekuinas telah memperoleh pegangan kawalan dalam Xenergi Sdn Bhd sebagai pelaburan tambahan bagi syarikat portfolionya, Davex.

Ekuinas juga telah menubuhkan Dana ASAS, dana baharu yang bernilai RM100 juta dengan saiz transaksi antara RM10 juta hingga RM30 juta bagi setiap pelaburan.

Dana ASAS menyasarkan syarikat Bumiputera yang berpotensi tinggi dalam pasaran pertengahan.

Eagle Cliffe (M) Sdn Bhd, yang memiliki rangkaian Kaisar Farmasi, menjadi pelaburan pertama di bawah Dana ASAS dan dilangsungkan pada suku pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 4:12 PM