NORAINI (tiga dari kiri) melawat bilik berita TV3 sambil diiringi Manja (kiri), Mohammad Azlan (tiga dari kanan) dan Dzulkifli (dua dari kiri).
NORAINI (tiga dari kiri) melawat bilik berita TV3 sambil diiringi Manja (kiri), Mohammad Azlan (tiga dari kanan) dan Dzulkifli (dua dari kiri).
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Petaling Jaya: Media Prima Berhad (MPB) merangka strategi untuk menembusi pasaran kreatif luar negara menerusi siri dokumentari Asia, program animasi, gaya hidup, ‘gameshow’ dan filem, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen MPB, Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan akan meneliti kandungan bersesuaian untuk tujuan berkenaan.

“Sebelum ini kita sudah pasarkan beberapa kandungan ke luar negara termasuk siri dokumentari Jejak Rasul dan mendapat sambutan cukup menggalakkan.

“Jadi, tahun ini kita akan mengenal pasti kandungan dan berbincang dengan pihak MATRADE. Jika mereka setuju, kita akan ketengahkan projek dan mulakan rakaman.

“Paling penting, kita yakin kerjasama ini mampu memberi impak besar kerana mereka mempunyai pejabat perdagangan di 46 negara,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi pengurusan tertinggi MPB bersama rombongan MATRADE di Sri Pentas di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Izham berkata, MPB bukan saja memerlukan kerjasama MATRADE untuk meneroka pasaran luar negara, malah mungkin memerlukan sokongan geran dan lesen.

“Sasaran kita adalah untuk mendekati stesen televisyen luar negara dan untuk itu, kita perlu pastikan kandungan yang terhasil menepati standard antarabangsa.

“Ini bermakna, kita perlu lebih banyak kos untuk menukar cara penerbitan, sekali gus menghasilkan program baru yang lebih berkualiti serta bercirikan Asia,” katanya.

Jelas beliau, ketika ini, 95 peratus pendapatan rangkaian televisyen MPB bergantung kepada pasaran tempatan.

“Berikutan itu, kita perlu meneroka pasaran luar negara termasuk Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara untuk meluaskan jenama MPB ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Dzulkifli Mahmud mengakui kebolehpasaran produk MPB ke luar negara.

“Kita lihat kandungan program dihasilkan berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

“Malah ada sebahagian programnya meninggalkan kesan kepada penonton luar hingga Malaysia menjadi sebutan,” katanya.

Rombongan lawatan korporat MATRADE itu diketuai Pengerusinya, Datuk Noraini Ahmad bersama 15 kakitangan.

Kunjungan mereka disambut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd Datuk Seri Amrin Awaluddin; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Mohammad Azlan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa dan Timbalan Pengarang Urusan, Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Datuk Manja Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 4:31 AM