Hazwan Faisal Mohamad


MEDIA Prima Bhd (MPB), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, bekerjasama dengan YouTube melalui perkhidmatan Player for Publishers dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukannya dalam industri media digital di Malaysia.

Menerusi kerjasama itu, kandungan video bermutu tinggi dihasilkan MPB termasuk daripada rangkaian televisyen, radio, The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) dan Media Prima Digital kini boleh didapati di YouTube.

Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid berkata, kumpulan MPB kini memperluaskan kewujudan digitalnya dan kerjasama itu akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat media digital paling besar di Malaysia.

Katanya, ketika ini terdapat permintaan tinggi untuk kandungan digital daripada penonton dan pengiklan mereka.

“Dengan kandungan tempatan kami yang popular dan penggunaan YouTube yang popular dalam kalangan penonton Malaysia, kami melihat ini sebagai penyelesaian mapan untuk menyerlahkan potensi penuh kandungan kami bagi menjana pendapatan lebih tinggi.

“Selain itu, kerjasama ini membolehkan kumpulan mengurangkan kos dengan memasukkan pemain video di dalam platform milik MPB di samping memberi peluang kepada penonton menikmati tontonan video lebih baik melalui pelbagai peranti.

“Langkah ini akan membolehkan MPB menjana pendapatan mapan melalui pengiklanan programatik, satu daripada segmen pendapatan digital yang pesat berkembang,” katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama itu di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran Baharu Muncul, Sajith Sivanandan; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak.

Ditanya sama ada kerjasama itu akan menjejaskan perkhidmatan penyiar kandungan over-the-top (OTT), tonton, Kamal menjelaskan kedua-duanya menawarkan perkhidmatan kepada penonton berbeza.

“Buat masa ini, saya fikir tonton ditonton penonton berbeza kerana ia menawarkan perkhidmatan berasaskan langganan. Malah, terdapat beberapa kandungan eksklusif hanya akan boleh diakses di tonton.

“Tetapi, akan tiba pada satu tahap nanti kami perlu memutuskan apakah model paling berkesan dari segi membolehkan penonton mengakses kandungan video kami,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan sektor digital kumpulan berkembang sebanyak dua angka pada tahun ini.

Katanya, bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai pada tahun ini dan tahun yang mendatang, penting untuk pihaknya sentiasa berinovasi.

Sementara itu, Sajith berkata, lebih banyak kandungan tempatan di YouTube, maka lebih banyak inventori untuk pengiklan mencapai pelanggan mereka.

“Kerana itu kami berterima kasih kepada Media Prima kerana membantu merancakkan lagi landskap YouTube Malaysia.

“Kami di Google dan YouTube adalah peminat utama untuk kandungan tempatan dan mengiktiraf yang kita semua sebahagian daripada ekosistem sama,” katanya.

Player for Publishers YouTube dilancarkan buat kali pertamadi Eropah pada 2015 dan kini digunakan lebih 100 penerbit di 25 negara.

Di Malaysia, MPB adalah syarikat media pertama menggunakan perkhidmatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Ogos 2018 @ 12:37 AM
KAMAL (tengah) bersama (dari kiri) Abdul Jalil, Sajith, Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital , Rafiq Razali bergambar selepas melakukan gimik pelancaran perkongsian platfom video MPB dan YouTube di Ibu Pejabat Google Malaysia, Menara Axiata, Kuala Lumpur Sentral, semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
KAMAL (tengah) bersama (dari kiri) Abdul Jalil, Sajith, Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Digital , Rafiq Razali bergambar selepas melakukan gimik pelancaran perkongsian platfom video MPB dan YouTube di Ibu Pejabat Google Malaysia, Menara Axiata, Kuala Lumpur Sentral, semalam. FOTO Mohd Yusni Ariffin.