Imam menikahkan Khairul di depan Md Zain di Hospital Kota Tinggi. FOTO Ahmad Othman
Imam menikahkan Khairul di depan Md Zain di Hospital Kota Tinggi. FOTO Ahmad Othman
Oleh Ahmad Othman

Kota Tinggi: Hasrat seorang bapa yang terlantar wad untuk melihat anak perempuan tunggalnya diijabkabulkan ditunaikan pagi ini dengan kerjasama pihak Hospital Kota Tinggi (HKT).

Nor Syafika Md Zin, 24, dan pasangannya, Khairul AzimBadrun Majidi, 24, selamat dinikahkan pada 9.02 pagi di wad Kenanga, Tingkat 4, HKT oleh Imam Azizul Fahmi Md Salleh.

Menurut pasangan arkitek itu, mereka bertunang pada Januari lalu dan bercadang bernikah pada April ini.

Syafika yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu adalah anak perempuan tunggal Md Zin Arff, 58, yang menghidap kanser paru-paru dan tulang.

Md Zin telah menjalani berapa siri rawatan di Hospital Sultan Ismail sebelum dipindahkan ke HKT.

"Bapa menyatakan hasratnya untuk menyaksikan majlis pernikahan kami yang terpaksa dipercepatkan sebulan awal memandang tahap kesihatan bapa.

"Kami tahu ayah menghidap penyakit kanser namun kami tidak sangka kesihatan ayah merundum begitu cepat," katanya.

Pihak HKTmengambil pendekatan budi bicara memindahkan Md Zin dari bilik lamanya ke sebuah bilik khas di tingkat yang sama bagi majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2015 @ 1:41 PM