PIHAK berkuasa membantu mengangkat mayat mangsa yang ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh di Kota Tinggi. FOTO Ihsan JBPM.
PIHAK berkuasa membantu mengangkat mayat mangsa yang ditemukan lemas di Pantai Tanjung Buloh di Kota Tinggi. FOTO Ihsan JBPM.
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Percutian sebuah keluarga di Pantai Tanjung Buloh di sini sempena cuti umum berakhir dengan tragedi apabila dua beradik didapati lemas.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, panggilan kecemasan diterima pada 3.38 petang hari ini.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penawar dengan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan pacuan empat kereta Hilux ke tempat kejadian.

Menurutnya, operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Khairul Sufian Dahari.

"Dua wanita nyaris lemas diselamatkan orang awam. Dua lagi mangsa ditemukan lemas dan dibawa ke pantai.

"Bomba memberi rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang lemas termasuk seorang kanak-kanak, Siti Nursalina, 10, dan kakaknya, Siti Rabiah Johari, 13 tahun berasal dari Ulu Tiram.

Menurutnya, mangsa yang terselamat termasuk ibu kedua-dua mangsa, Mersidita Yunos, 46, dan Saleha Haron, 27.

"Mayat diserahkan kepada polis bagi proses bedah siasat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

"Operasi tamat pada 4.42 petang," katanya menerusi siaran media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 7:15 PM