Dari kanan, Muhammad Syahriel, Nurul Saidatul Akmar dan anaknya,
Dari kanan, Muhammad Syahriel, Nurul Saidatul Akmar dan anaknya,
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: "Dua hari lalu, adik lelaki memberikan saya RM50. Katanya, itu duit gajinya, mungkin ia pemberiannya yang terakhir.

"Adik perempuan pula ada menghubungi saya malam tadi (semalam) mengajak meraikan majlis hari lahir anaknya hari ini, tak sangka kami tidak dapat berjumpa lagi selama-lamanya," katanya Nurul Quyyum Darwis, 39.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi tadi, adik Nurul Quyyum, Nurul Saidatul Akmar, 36, dan Mohamad Syahriel Aiman, 22, maut dalam kemalangan di Jalan Sungai Rengit di sini.

Ibunya, Rukiah Mohd Alwee, 61, yang mengalami patah kaki kiri dan pendarahan di kepala dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anak Nurul Saidatul Akmar, Muhammad Khalif Iffat Miran, 5, yang turut cedera dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Difahamkan, ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Air Tawar 3 selepas menghantar Mohamad Syahriel Aiman yang kurang sihat ke klinik di Air Tawar 2.

Suami Nurul Quyyum, Kamarul Hafiz Baserin, 40, berkata,

ketika dimaklumkan berita malang itu, dia bersama isterinya menghadiri majlis graduasi anak mereka di sekolah.

"Saya terima panggilan daripada rakan menyatakan kejadian itu dan mereka sudah dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

"Ketika bergegas ke HKT, saya dimaklumkan kedua-dua adik ipar saya sudah meninggal dunia. Isteri saya meraung menerima berita pemergian adik-beradiknya itu," katanya ketika dihubungi.

Bercerita lanjut, Kamarul Hafiz berkata, dua hari lalu, Mohamad Syahriel Aiman ada meminta nasihatnya mahu menukar nama hak milik kereta Proton Wira milik arwah bapa mentuanya.

"Tidak sangka hasratnya tidak kesampaian kerana hari ini terbabit dalam kemalangan, dia sudah tiada dan kereta berkenaan juga remuk.

"Mereka juga sepatutnya ke gerai sate kami menyambut sambutan hari jadi anaknya petang hari ini. Tak sangka semua (kemalangan) ini terjadi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, kemalangan berlaku di kilometer 58 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan 10.45 pagi memaklumkan kemalangan membabitkan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Proton Wira.

"Pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan. Kes masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, Mohamad Syahriel Aiman adalah anak bongsu dalam keluarga, sementara Nurul Saidatul Akmar anak ketiga dari lima beradik.

Kedua-dua jenazah akan dikebumi di Kampung Temenin pada malam ini selepas selesai proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 6:59 PM