Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Perak menurun sebanyak 0.19 mata dengan mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 5.20 berbanding 5.01 mata pada 2013.

Jumlah calon yang mendapat keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 934 (2.57%) juga menunjukkan penurunan berbanding 1,276 (3.32%) calon pada 2013.

Pengarah Pendidikan Perak Rozi Puteh Ismail berkata, Sekolah Menengah Sains Tapah muncul sebagai sekolah terbaik dengan seramai 52 daripada 198 calon SPM mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran.

"Sebilangan besar daripada 934 calon yang mendapat keputusan cemerlang adalah terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan dan 10 mata pelajaran," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian calon di bandar bagi 2913 turut berlaku penurunan sebanyak 0.2 mata GPN iaitu 5.13, berbanding 4.93 mata pada 2013 dan bagi calon luar bandar pula juga menurun sebanyak 0.23 mata iaitu 5.57 pada 2014 berbanding 5.34 pada tahun sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 1:46 PM