Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Terengganu menurun sebanyak 0.10 mata dengan mencatatkan Gred Purata Negeri (GPN) 5.00 berbanding 4.90 mata pada 2013.

Pengarah Pendidikan Negeri Zakaria Hussin berkata, GPN berkenaan masih lagi mengatasi Gred Purata Nasional iaitu 5.08.

Menurutnya, mata atau nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon lebih baik.

"Seramai 360 calon berjaya memperoleh semua gred A bagi semua mata pelajaran diduduki berbanding 464 calon berbanding 2013.

"Daripada jumlah terbabit seramai enam calon mendapat semua A+ bagi mata pelajaran yang diduduki berbanding lima calon pada tahun lalu," katanya pada Majlis Pengumuman dan sidang media di Pejabat Pendidikan Negeri, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 12:00 PM