HAFREEZ sangat pentingkan ‘call time’.
HAFREEZ sangat pentingkan ‘call time’.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Hafreez Adam mengakui mempunyai prinsip tersendiri dalam bekerja terutama soal penjagaan waktu 'call time'.

Hafreez, 31, atau nama sebenarnya Hafreez Adam Aizat Zahalan berkata, sukar diterima bagunya apabila terdapat pelakon yang tidak hormat 'call time' diberikan produksi.

"Jujur cakap, saya memang tak suka orang yang tak hormat 'call time' kerana banyak susahkan orang. Selalunya penolong pengarah yang sudah pernah bekerja dengan saya memang akan bagi 'call time' lewat daripada pelakon lain sebab mereka tahu saya akan sampai awal.

"Jadi, ketika kejadian di mana Azar Azmi lambat dua jam ke lokasi, produksi yang lebih gementar. Ini kerana saya sudah menunggu lama dan Azar masih belum sampai. Tapi, semua okay sahaja. Azar pun sudah minta maaf kepada semua," katanya.

Soal 'call time' ini timbul susulan pendedahan pelakon Azar Azmi yang mengakui lewat hampir dua jam ke lokasi penggambaran drama Derita Untuk Bahagia.

Azar yang bergandingan dengan Hafreez dalam drama yang sedang ditayangkan di Astro Prima itu berkata, dia terlajak tidur disebabkan kepenatan dari penggambaran hari sebelumnya.

Bagaimanapun, Hafreez berkata, tindakan Azar meminta maaf membuatkan dia okay dan tidak mengganggu 'mood' lakonan.

"Sebenarnya kalau pelakon lain buat macam tu memang 'moody' lah. Sebab produksi tahu saya jenis menepati waktu 'calltime'. Kebiasaannya saya akan sampai di lokasi penggambaran 30 minit lebih awal.

LAKONAN hebat Hafreez dan Azar.
LAKONAN hebat Hafreez dan Azar.

"Jadi ketika kejadian, produksi lebih risaukan 'mood' saya. Tapi saya pula jenis yang cepat okay kalau orang lambat, sampai-sampai terus minta maaf. Saya akan lebih 'moody' kalau orang lewat, tapi tak minta maaf dan buat rasa tak bersalah.

"Macam Azar, dia sampai memang terus minta maaf. Kami faham situasi dia. Sebab masa kejadian, pembantu peribadi dia hilang tanpa menjawab panggilan atau mesej. Dan sehari sebelum itu Azar terbabit penggambaran hingga awal pagi. Jadi kami faham bila dia terlajak tidur. Dia mengaku dia terlajak tidur," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Azar selepas kejadian itu, Hafreez berkata, mereka baik-baik saja malah menjadikan perkara i

tu sebagai bahan lawak di lokasi penggambaran.

"Semuanya okay saja. Kami tidak ada apa masalah pun. Dia sangat baik, jadi tak ada isu pun. Tapi dia datang lewat itu menjadi bahan lawak untuk kami mengusik dia di lokasi," katanya.

Drama lakonan Hafreez bersama Azar Azmi, Amar Baharin, Dayang Areeda dan ramai lagi itu ditayangkan di Slot Tiara, Astro Prima bagi menggantikan drama Hati Yang Dikhianati yang ditunda tayangannya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 atau Sekatan Pergerakan Penuh.

Difahamkan drama yang sudah bersiaran sebanyak 40 episod itu belum selesai menjalani penggambaran sehingga memaksa tayangannya dihentikan sementara.

Hafreez berharap penonton dapat mengambil pengajaran daripada drama arahan Ejump Mohd itu.

"Dalam drama ini setiap watak utama mempunyai graf yang menarik. Ia menunjukkan kepada penonton bagaimana seseorang boleh berubah dan alasan dia berubah.

"Cerita ini tak fokus pada watak utama saja, tapi keseluruhan watak ada peranan yang penting untuk jalan cerita ini. Semoga penonton suka dan dapat pengajaran yang nak

disampaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:11 AM