MAH (kiri) bertanya khabar Azimah yang menghidap barah payudara sambil diperhatikan suaminya, Nor Mass Naser, semalam.
MAH (kiri) bertanya khabar Azimah yang menghidap barah payudara sambil diperhatikan suaminya, Nor Mass Naser, semalam.
Oleh Abu Bakar Al Sidek

Teluk lntan: Lebih 10,000 masyarakat pelbagai kaum dijangka hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Menara Condong, di sini, pada 28 Februari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka hadir dan menjadi tetamu istimewa pada sambutan itu.

“Kehadiran Perdana Menteri, sekali gus satu penghormatan kepada Menara Condong yang berusia 130 tahun.

“Perdana Menteri juga dijangka memberi ucapan penting yang diharap dapat menyuntik semangat keharmonian antara kaum,” katanya selepas menziarahi Azimah Affandi, 38, yang menghidap penyakit barah payudara di rumahnya di Lorong Mohd Ali, Kampung Bahagia, di sini, semalam.

Mah yang juga Presiden GERAKAN berkata, kira-kira 100 wartawan dari seluruh dunia termasuk penulis blogger dan twitter turut dijemput menghadiri majlis itu, sekali gus memberi peluang kepada mereka melihat secara dekat keunikan Menara Condong Teluk Intan.

Beliau mengulangi harapannya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (KPKM) mempercepat pengiktirafan Menara Condong sebagai tapak warisan kebangsaan.

“Saya membuat permohonan sejak lima tahun lalu, tetapi hingga sekarang belum mendapat jawapan muktamad KPKM.

“Menara itu sudah layak dinobatkan tapak warisan kebangsaan kerana kedudukannya sama taraf dengan Menara Pisa di ltali selain kedudukan Teluk lntan yang dikenali sebagai Bandar Warisan Dalam Taman Pesisir Sungai adalah bandar ketiga terbesar di Perak yang banyak menyimpan sejarah dan legenda,” katanya.

Mengenai penderitaan Azimah sejak lima tahun lalu, Mah berkata, beliau akan berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah bagi membolehkan keluarga berkenaan memiliki rumah sendiri berbanding rumah sewa sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 8:08 AM