PELLE melakukan tandukan menewaskan Hogg untuk  kemenangan Itali.
PELLE melakukan tandukan menewaskan Hogg untuk kemenangan Itali.
AFP

Florence, Itali: Penyerang Southampton Graziano Pelle menjaringkan gol hasil hantaran lintang Antonio Candreva bagi membolehkan Itali menang 1-0 ke atas Malta di Florence, sekali gus membolehkan mereka menduduki tangga teratas kumpulan kelayakan Euro 2016.

Ketika pesaing terdekat, Croatia terikat seri tanpa jaringan di Azerbaijan, skuad Azzurri memiliki kelebihan apabila bakal melayan kunjungan Bulgaria awal pagi Isnin pada pertemuan yang dilihat akan mengesahkan tiket untuk ke pusingan akhir di Perancis tahun depan.

Begitupun, Itali dilihat bergelut untuk memecahkan benteng pertahanan Malta hinggalah Pelle melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-69.

Ketika jurulatih Malta Pietro Ghedin semakin yakin dengan formasi 5-3-2 yang digunakan, Antonio Conte pula menerapkan sistem 4-3-3 dengan Manolo Gabbiadini membantu Candreva di sebelah kanan Pelle, manakala Eder di sayap kiri.

Penyerang Sampdoria Eder yang sudah menghasilkan empat gol sepanjang dua perlawanan setakat ini, menjadi sandaran pasukan, tetapi Pelle lebih mencuri tumpuan.

Pada awal permainan, sepakan percuma Andrea Pirlo hampir menghasilkan gol dan sepakan sudut yang diambil pemain tengah New York City FC itu pula gagal disempurnakan dengan baik oleh Pelle.

Rembatan Pelle selepas mendapat umpanan Marco Verratti terkena pertahanan lawan dan bintang Paris Saint Germain itu sekali lagi kecewa selepas cubaan tersasar hasil hantaran Andrea Bertolacci.

Begitupun, sepakan sudut yang diambil Pirlo berjaya disambut Pelle yang menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-69.

Padang di Fiorentina itu ‘terbakar’ gara-gara cubaan bertali arus pemain kedua-dua pasukan.

Begitupun, penjaga gol Malta Andrew Hogg menjadi pemain paling sibuk apabila terpaksa menafikan beberapa percubaan bahaya Bertolacci serta pemain Itali yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:09 AM