MCILROY berkongsi kedudukan teratas bersama Berger dan Ancer di Cabaran Dunia Hero. FOTO AFP
MCILROY berkongsi kedudukan teratas bersama Berger dan Ancer di Cabaran Dunia Hero. FOTO AFP
AFP

Miami: Rory McIlroy mencatatkan enam di bawah par 66 untuk berkongsi kedudukan pendahulu bersama wakil Amerika Syarikat (AS), Daniel Berger dan Abraham Ancer dari Mexico pada pusingan pertama Cabaran Dunia Hero kali ke-22.

McIlroy, juara empat kali kejuaraan utama, beraksi di kejohanan jemputan 20 pemain itu buat kali pertama sebelum berjaya berkongsi kedudukan teratas di Albany, Bahamas.

Tiga lagi pemain AS, Webb Simpson, Brooks Koepka dan Justin Thomas berkongsi kedudukan keempat selepas melakukan 67 pukulan, tatkala Thomas terkeluar dari kelompok pendahulu disebabkan melakukan double bogey pada hujung permainan.

Kejohanan itu menampilkan 17 pemain berada dalam kelompok 25 terbaik dunia dan tidak dipertandingkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Pemain Sweden, Henrik Stenson, yang menduduki ranking ke-179 dunia mempertahankan takhta 2019.

McIlroy, pemain nombor lapan dunia, membenam tiga birdie pada lima lubang pertama namun sedikit terganggu selepas mencatat double bogey di lubang kesembilan.

Bintang Ireland Utara berusia 32 tahun itu bangkit kembali pada sembilan lubang terakhir dengan melakukan birdie berturut-turut dan membenam eagle di lubang ke-14.

"Saya sangat bangga dengan permainan saya selepas kesilapan double bogey. Saya bermain pada sembilan lubang terakhir dengan catatan lima bawah par. Ia tindak balas yang baik selepas sedikit penurunan prestasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 3:52 PM