Manila: Ketua tentera Filipina semalam mendedahkan imej yang menunjukkan penebusgunaan lapan terumbu karang oleh China di Kepulauan Spratly yang menjadi pertikaian antara dua negara berkenaan.

Jeneral Gregorio Pio Catapang Jr berkata, tindakan Beijing itu meningkatkan lagi kemungkinan konfrontasi secara tidak sengaja di kawasan itu.

“Kami mempunyai sebab untuk menyuarakan kebimbangan kami terhadap kesan negatif akibat sifat agresif China ini yang mewujudkan ketegangan terutama dengan negara lain yang turut menuntut hak di kawasan itu,” katanya.

Catapang berkata, apabila siap kelak, pulau buatan itu boleh diubah suai menjadi pangkalan tentera luar pesisir dengan landasan kapal terbang dan hab rondaan maritim seterusnya mampu menggugat kebebasan belayar di lokasi berkenaan yang menjadi laluan kargo komersial serta minyak.

Dia berkata demikian selepas lebih 11,500 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan Filipina melancarkan latihan perang semalam ketika kebimbangan semakin meningkat terhadap tindakan China di Laut China Selatan.

Manila mendakwa latihan yang diberi nama ‘Balikatan’ (Bahu ke Bahu) membabitkan lebih 90 kapal dan pesawat udara bukan ditujukan kepada China.

Namun lokasi latihan yang diadakan di perairan yang menjadi pertikaian selain tumpuan terhadap pertahanan menampakkan ia mempunyai kaitan dengan konflik itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 7:32 AM