Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Koleksi terbaru daripada FashionValet, Cala Qisya diperkenalkan bagi mereka yang meminati fesyen Muslimah moden, tetapi pada masa sama tetap mengekalkan kesopanan dan nampak feminin.

Malah, dalam menawarkan kepelbagaian fesyen Muslimah yang menarik, Fashion Valet turut menjalinkan kerjasama dengan Cala Qisya untuk menghasilkan koleksi pakaian yang tampak eksklusif dan ringkas dengan gaya tersendiri.

Menurut Pengarah Urusan FashionValet, Vivy Yusof, kerjasama itu adalah kali kelima dijalankan pihaknya dengan pereka tempatan dalam usaha menawarkan koleksi pakaian yang eksklusif di laman fesyen www.FashionValet.com.

"Kami gembira dapat bekerjasama memandangkan jenama itu dikenali ramai dalam dunia fesyen Muslimah. Ia mula mendapat perhatian sejak tiga tahun lalu dengan koleksi sesuai untuk pemakaian seharian dan mematuhi syariat," katanya.

Lebih menarik, selain potongannya yang membuatkan pemakai nampak anggun, koleksi berkenaan juga sesuai untuk mereka yang masih menyusukan anak dan mudah untuk berwuduk.

Setiap rangkaian koleksi ini membawa nama hebat wanita Islam dalam sejarah termasuk Sumayyah, Aishah dan Safiyyah.

Sopan dan tampil dengan warna alam yang lembut, ia turut memaparkan labuci di bahagian lengan dan tubuh untuk menyuntik sentuhan eksklusif pada pakaian.

Tiga rekaan jubah jenama itu yang boleh diapati dalam saiz S hingga XL, ditawarkan pada harga RM179 hingga RM199.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Disember 2014 @ 5:05 AM