JUBAH bersama jaket sentuhan tersendiri pereka.
JUBAH bersama jaket sentuhan tersendiri pereka.
GABUNGAN jubah dan selendang yang disediakan di Modvier.
GABUNGAN jubah dan selendang yang disediakan di Modvier.
GAUN labuh berkotak memberikan ilham terkini kepada wanita.
GAUN labuh berkotak memberikan ilham terkini kepada wanita.
BUKAN saja untuk Muslimah, Modvier menyediakan padanan untuk semua golongan.
BUKAN saja untuk Muslimah, Modvier menyediakan padanan untuk semua golongan.
KASUAL ke pejabat.
KASUAL ke pejabat.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Pada April tahun lalu, penulis menyaksikan hampir 28 busana dipersembahkan pada majlis pertunjukan fesyen sempena pembukaan Modvier yang terletak di Jalan Riong, Bangsar. Belum cukup setahun, sekali lagi media ditayangkan dengan pertunjukan fesyen menampilkan 65 jenama serta lokasi baru Modvier yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar bertentangan dengan lokasi lama.

Sudah pasti tarikan yang hebat menyebabkan pusat fesyen ini menambah lebih separuh lagi jenama sama ada yang sudah popular di laman sosial mahupun mempunyai butik fizikal untuk beroperasi di lokasi baru yang lebih luas dan selesa.

Malah, lokasi strategik di tengah-tengah kota Kuala Lumpur dengan keluasan yang lebih selesa pasti menjadi tarikan utama terutama mereka yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Pertunjukan fesyen yang berlangsung dua jam ini bukan saja menghidangkan rekaan terkini yang belum pernah dipaparkan di laman sosial, tetapi memberikan nafas segar kepada industri fesyen terutama pembabitan pereka Melayu muda dalam bidang ini.

Rata-rata mereka juga masih di bawah usia 30-an namun sudah mempunyai pengikut yang ramai serta peminat fanatik yang dapat dilihat setiap kali rekaan muncul di pasaran.

Jika dulu ia mungkin mengkhususkan kepada rekaan Muslimah, tetapi kini sesiapa juga boleh mendapatkannya kerana semua jenama yang terdapat di sini pastinya sesuai untuk semua golongan usia.

Menurut Pengasas Modvier, Siti Sarah Shah Nor, 32, hampir setahun beroperasi di Jalan Riong, Modvier mencipta kegemilangan tersendiri apabila mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada pelanggan. Dengan kehadiran jenama hebat di alam maya seperti Bella Ammara, Sugarscarf, Tudung People, Radiusite, Mazlianul Maznan, Cala Qisya dan Allya Mysara, ia tentunya mengumpulkan jutaan pengikut di Instagram.

“Jutaan pengikut ini memberikan impak yang besar apabila mereka turut memberikan sokongan dengan adanya butik fizikal kerana mereka dapat datang dan melihat sendiri setiap jenama kegemaran mereka. Paling penting, ada rekaan yang hanya disediakan di sini dan tidak dijual secara dalam talian,” katanya.

Menyedari perkembangan hebat ini, Sarah tidak mengambil masa lama untuk mengumpulkan sehingga 65 jenama bagi menempatkannya di dalam butik yang sama. Ada antaranya sudah mempunyai butik fizikal dan kebanyakannya menjualnya menerusi dalam talian. Namun mereka tetap mempunyai jumlah pengikut yang ramai di Instagram.

“Antara yang menjadi keluarga baru Modvier ialah Jelitasara, Qaira Hijab, Karyakemistri, Tudung Ruffle Jameqha, Benang Hijau, Hannabella, Pudore dan Shoeblitz manakala jenama selebriti yang ada termasuk Yuna, Mizz Nina, Liyana Jasmay, Natasha Hudson dan Haflin,” katanya.

Dengan 65 jenama di bawah satu bumbung, ia bukan saja memberi peluang kepada pelanggan memilih koleksi yang mereka inginkan tanpa bergerak ke tempat lain, tetapi ia menandakan kolaborasi yang hebat daripada semua pengusaha fesyen tempatan.

Pembukaan butik baru di Bangsar ini juga menjadi mercu tanda bagi peminat fesyen membeli-belah. Modvier pula dalam perancangan menambah cawangan di luar Kuala Lumpur dan Kuantan bakal menjadi lokasi pertama bagi memberi peluang pelanggan di pantai timur mendapatkan koleksi terkini mereka di sana.

“Kami sentiasa mengutamakan pelanggan serta kualiti dalam setiap rekaan. Sebab itu semua jenama di sini pasti menghidangkan busana yang akan menjadi pilihan terbaik wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:07 AM