FESYEN Muslimah Zawara unjur jualan 25,000 helai  pakaian bagi koleksi sempena Aidilfitri  tahun ini.
FESYEN Muslimah Zawara unjur jualan 25,000 helai pakaian bagi koleksi sempena Aidilfitri tahun ini.
Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: Zawara Sdn Bhd pengeluar jenama fesyen Muslimah Zawara mengunjurkan jualan 25,000 unit koleksi pakaian bersempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariff Abd Karim berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran berkenaan apabila mengadakan kerjasama eksklusif bersama Lazada, Zoey Rahman dan Bianco Mimosa selain memperagakan sendiri produknya.

“Zawara yang tampil dengan tema Glam&Glitz mengetengahkan busana berkualiti termasuk menggunakan fabrik chiffon dan tahun ini, kami mengetengahkan konsep rekaan pakaian yang sesuai bagi kegunaan bukan saja pada musim perayaan, tetapi boleh diulang pakai untuk majlis mengikut kesesuaian.

“Kami optimis mencatatkan angka jualan memberangsangkan daripada pengguna kerana menggunakan strategi harga mampu milik seperti tahun sebelumnya,” katanya pada majlis penghargaan media dan prebiu Koleksi Glam Raya Zawara 2016 yang turut dihadiri Pengasasnya, Dila Abd Karim, di sini.

Glam Raya Zawara 2016 membabitkan 14 koleksi busana dengan rekaan produk mengikut pelbagai jenis cita rasa pengguna. Semua empat rekaan khas ‘Zawara For Lazada’ turut dipasarkan di laman terbabit selain di Zawara Megastore.

Kamarul Ariff berkata, Zawara memasarkan dua koleksi ‘Zoey Rahman For Zawara’ yang mengetengahkan rekaan pakaian untuk lelaki, manakala Bianco Mimosa pula mempamerkan rekaan mereka di butik Zawara.

Pengguna boleh mula mendapatkan koleksi Glam Raya Zawara 2016 di butik Zawara berhampiran serta laman web Lazada pada harga antara RM169 dan RM199.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:04 AM